Majlis TVET Perak Pemandu Halatuju Strategik Ekosistem TVET: 2 Februari 2024

Majlis TVET Perak Pemandu Halatuju Strategik Ekosistem TVET.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan

IPOH, 2 Februari 2024 - Kerajaan negeri melalui inisiatif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah mewujudkan Majlis TVET Negeri Perak bagi memainkan peranan sebagai pemandu hala tuju strategik ekosistem TVET.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, ini merupakan kolaborasi di antara pemegang taruh awam dan swasta dalam memperkasakan serta mengarusperdanakan TVET.

"Majlis ini juga bertindak sebagai badan pemantau pencapaian pembangunan modal insan agar memenuhi keperluan industri semasa sejajar dengan aspirasi ke arah Koridor TVET Malaysia.

"Untuk itu, TVET perlu diberi penekanan bagi memastikan ia sentiasa relevan dan seiring perkembangan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran Majlis TVET Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Jenny Choy Tsi Jen; YB Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Encik A. Sivanesan; YBrs. Pengarah PASAK, Encik Aldrin Ng serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, apabila TVET diperkasakan, beliau mengharapkan lebih ramai belia memilih aliran TVET sebagai laluan pembelajaran dan kerjaya.

"Berbekalkan kemahiran, ia bukan sahaja memudahkan graduan untuk mendapatkan pekerjaan, malah proaktif mencipta ruang atau pendapatan sebagai “job creator”.

"Selain itu, graduan TVET juga berpeluang untuk menjadi usahawan yang inovatif dan kreatif bertepatan dengan visi Perak Sejahtera 2030 untuk mengurangi kebergantungan pada tenaga kerja asing, dan meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan rakyat," ujarnya lagi.

Sumber : Korporat, SUK Perak.