DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-Kanak Dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun : 6 Februari 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-Kanak Dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan lafaz perasmian kompleks tersebut

IPOH, 6 Februari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pagi ini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad; YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang; YBrs. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Sirajuddin bin Hashim dan YBhg. Pengarah HRPB, Dato’ Dr. Megat Iskandar bin Megat Abdul Hamid.

Sementara itu, dalam sembah ucapan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, beliau berkata pembinaan KWKK yang telah mula beroperasi sejak Disember 2019 ini telah menelan belanja sebanyak RM237 juta dengan keluasan 14,671 meter persegi di bawah peruntukan RMK-10.

“Kini dengan adanya KWKK, maka HRPB adalah antara tiga hospital terbesar di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang dengan kapasiti 1,394 buah katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa, 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

“Kompleks dengan ketinggian 10 tingkat ini memuatkan sebanyak 404 katil serta turut dilengkapkan dengan 304 lot parkir untuk kakitangan dan juga pelawat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, KKM turut meluluskan peruntukan untuk perolehan katil baru sebanyak RM1.2 juta bagi 250 set katil.

Mengakhiri majlis, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan melawat pameran yang diadakan khusus oleh Jabatan Kardiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi sebelum berangkat pulang.

Sumber : Korporat, SUK Perak.