Kerian Daerah Pertama Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan 2024 : 8 Februari 2024

Kerian Daerah Pertama Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan 2024.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membuat aduan kepada pihak kerajaan negeri yang berkaitan.

BAGAN SERAI, 8 Februari 2024- Kerian menjadi daerah pertama bagi program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) siri kedua pada tahun ini. Program tersebut telah diadakan di Dewan Dato’ Zainal Abidin, petang tadi.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata daerah Kerian menjadi daerah pertama penganjuran HBP di luar Ipoh tahun ini yang jelas memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan tradisi turun padang bagi menyelami permasalahan dan menyantuni masyarakat setempat sejak dilaksanakan pada tahun 2022.

“Pada hari ini, sebanyak 125 aduan telah diterima. Pada siri pertama yang lepas, daripada 226 aduan yang diterima, sebanyak 173 (77%) aduan telah diselesaikan. Baki 53 (23%) aduan masih dalam tindakan kerana ia merupakan aduan kompleks melibatkan tanah dan urusan peruntukan yang memerlukan perhatian banyak pihak.

“Seperti kebiasaan, terdapat juga jualan barangan mentah dan keperluan harian dengan harga murah daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Jualan RAHMAH anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama MN Group Enterprise,” jelasnya.

Tambahnya lagi, HBP ini turut menerima sokongan dari Jabatan Persekutuan. Sempena Jelajah MyPesara Peringkat Negeri Perak, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut membuka kaunter perkhidmatan MyPesara di lokasi HBP yang menawarkan perkhidmatan pertukaran kad pesara dan khidmat nasihat berkenaan persaraan serta perkembangan hal ehwal yang terkini.

“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia turut membuka kaunter perkhidmatan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi membantu para pengunjung untuk mendaftarkan maklumat mereka.

“Sebentar tadi juga, saya berkesempatan menyampaikan insentif kemenangan sebanyak RM100,000 kepada Pasukan Sepak Takraw Negeri Perak (Perak Bison) melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) dan menyerahkan peralatan asas kepada Pusat Latihan Daerah (PLD) Kerian bagi sukan olahraga, pétanque, hoki dan memanah.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Perak Bison atas kejayaan menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) 2022/2023 dan atas kejayaan berganda menjuarai Piala Tun Ali 2023 seterusnya mengangkat nama Perak sebagai pasukan yang unggul dalam sukan sepak takraw negara,” katanya.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin serta YBrs. Pegawai Daerah Kerian, Encik Mohd Sabli bin Bakri.

Dalam perkembangan sama, pagi tadi juga telah berlangsung Program Tanya Cikgu Saarani (TCS) siri ketiga bertempat di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar yang membabitkan penyertaan seramai 800 pelajar dan warga pendidik dari 19 sekolah seluruh Kerian.

Penganjuran kali ini turut melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, 5 kaunter bergerak serta lebih 12 reruai pameran.

Sumber : Korporat, SUK Perak.