DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 : 23 Februari 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad_ YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid serta YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim

IPOH, 23 Februari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Keberangkatan tiba baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak dengan iringan Pancaragam Akademi Tentera Udara Diraja Malaysia, Ipoh dibawah pimpinan Leftenan Mohd Hanif bin Che Razak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kemudiannya berkenan memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 orang anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping diketuai Mejar Mohd Nurul bin Hasan.

Kawalan Kehormatan Utama tersebut telah diketuai oleh Kolonel Abdul Rahim bin Hamzah selaku pegawai pemeriksa.

Setelah itu, baginda berdua diiringi ke Kamar Diraja sebelum berangkat ke Dewan Mesyuarat bagi menzahirkan titah ucapan perasmian baginda sempena Tahun Kedua, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.