Kemiskinan Tegar Jadi Tumpuan Kerajaan Negeri Dibawah Perak Sejahtera 2030 : 23 Februari 2024

Kemiskinan Tegar Jadi Tumpuan Kerajaan Negeri Dibawah Perak Sejahtera 2030.

Baginda telah memperkenankan penubuhan Majlis Perundingan Masjid pada 30 Ogos 2023.

IPOH, 23 Februari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah agar agenda menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.

Baginda menitahkan, usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.

“Berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 Ketua Isi Rumah. Berdasarkan sumber data yang sama, sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut telah menurun kepada 3,911 Ketua Isi Rumah, menunjukkan penurunan lima puluh lapan peratus. Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen yang tinggi.

“Menyediakan rumah mampu milik yang sangat diperlukan oleh rakyat berpendapatan rendah merupakan tanggungjawab fardu kifayah yang sangat dituntut untuk dipenuhi.  Kerajaan Beta perlu tegas melaksanakan program perumahan rakyat. Memenuhi keperluan perumahan rakyat hendaklah diutamakan dan didahulukan, berbanding memenuhi agenda komersial mengaut keuntungan oleh pemaju. Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menganggarkan 57,407 unit rumah diperlukan menjelang tahun 2030.

“Pada masa yang sama, Yayasan Perak melaksanakan Program Sayangi Rumahku, program bantuan perumahan baharu secara percuma dan program baik pulih dan pembaikan rumah kepada golongan miskin.  Program Rumah Perakku Prihatin pula menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah kepada golongan sasar yang layak,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan bertitah lagi bahawa baginda telah memperkenankan penubuhan Majlis Perundingan Masjid pada 30 Ogos 2023 berperanan sebagai forum untuk menerokai idea-idea inovatif, menyuntik nilai tambah, memperkenalkan program pengimarahan masjid yang lebih dinamik, yang berjaya menarik minat dan penyertaan para belia.

“Masjid tidak harus membatasi peranan sebagai tempat bersolat semata-mata, tetapi hendaklah berperanan sebagai penjana intelektualisme dan daya kreativiti masyarakat setempat.

“Aspirasi para belia amatlah penting diberikan perhatian. Belia ialah khazanah penting masyarakat dan tabungan kekayaan masa hadapan negara,” titah baginda.

Baginda mengakhiri titah dengan menyeru semua rakyat untuk bangunkan negeri Perak dalam semangat menggabungkan kekuatan yang ada sesama rakyat, menghayati semangat ‘bersatu teguh-bercerai roboh’.

Sumber : Korporat, SUK Perak.