ESCAPE Ipoh Ikon Pelancongan Terbaharu Perak : 24 Februari 2024

ESCAPE Ipoh Ikon Pelancongan Terbaharu Perak.

ESCAPE Ipoh akan menjadi ikon pelancongan terbaharu negeri Perak.

BATU GAJAH, 24 Februari 2024 - ESCAPE Ipoh akan menjadi ikon pelancongan terbaharu negeri Perak yang akan dibuka sepenuhnya pada bulan April tahun ini dan menjadi tarikan utama Tahun Melawat Perak 2024.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang, pagi ini.

Tambahnya lagi, ESCAPE Ipoh yang merupakan pembangunan semula di tapak brownfield dijangka akan meningkatkan nilai hartanah dan kepakaran tenaga buruh serta menambah variasi produk pelancongan.

“Saya dimaklumkan, pembukaan ESCAPE Ipoh mulai bulan April 2024 ini dijangka dapat menarik 200,000 pengunjung setahun. Ini secara tidak langsung dapat merancakkan lagi ekonomi serta menjadi pemangkin kepada kepesatan industri pelancongan di negeri Perak khususnya di sekitar kawasan Batu Gajah.

“Sudah tentu, kemunculan ESCAPE Ipoh juga dapat memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitarnya selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kecil.

“Selama ini mukim Tanjung Tualang ini terkenal dengan hidangan udang galah dan aktiviti sukan lasak. Dengan kedudukannya yang berhampiran dengan Kellie’s Castle, Silverlakes Village Outlet, Galeri LAT, Gua Tempurung, Taman Alam Kinta, PATRO dan The Treasure Taman Herba @Gopeng, ESCAPE Ipoh boleh dianggap sebagai pelengkap kepada perancangan menjadikan Greater Ipoh (Batu Gajah-Ipoh-Kuala Kangsar) sebagai destinasi pilihan pelancong,” jelasnya.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Encik Anuar bin Zainal Abidin; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak; Pengasas Sim Leisure Group, YBhg. Dato’ Sim Choo Kheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Encik Philip Whittaker.

Sumber : Korporat, SUK Perak.