Kerajaan Negeri Rai Media Perak : 24 Februari 2024

Kerajaan Negeri Rai Media Perak.

Pemenang bagi pertandingan pakaian terbaik

IPOH, 24 Februari 2024 - Seramai 21 orang media menerima anugerah pelbagai kategori pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan menghimpunkan 70 orang pengamal media malam ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad yang hadir bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin.

Sebanyak enam kategori telah dipertandingkan iaitu Anugerah Berita Terbaik, Anugerah Rencana Terbaik, Anugerah Berita Ekonomi Terbaik, Anugerah Berita Sukan Terbaik, Anugerah Audio dan Visual Terbaik dan Anugerah Foto Terbaik.

Pemenang pertama menerima wang tunai sebanyak RM1,500 dan tempat kedua sebanyak RM1,000 manakala tempat ketiga sebanyak RM500. Kesemua pemenang turut menerima sijil penghargaan.

Selain itu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan 3 anugerah khas kepada rakan media yang sudah bersara dan mengambil kira sumbangan bakti sebagai pengamal media sejak berpuluh tahun di Perak iaitu bekas jurugambar Utusan Malaysia, Encik Zulkarnain bin Mohd Saidin; Encik Lam Koon Yeu (jurukamera TV3) dan Encik Chandra Sagaran a/l Pookan (wartawan The Sun).

Beliau dalam ucapannya berkata majlis ini sangat signifikan dan istimewa kerana buat julung kalinya kerajaan negeri memberikan pengiktirafan terhadap kerja keras dan dedikasi para wartawan, jurugambar dan semua yang terlibat dalam industri media di Perak dalam menyampaikan berita dan maklumat yang berkualiti kepada masyarakat melalui Anugerah Media Perak.

"Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa  sambutan yang diterima daripada pengamal media Perak sangat memberangsangkan dengan lebih 90 penyertaan diterima membabitkan enam kategori daripada pelbagai agensi berita.

"Kepada yang berjaya membawa pulang hadiah, saya ucapkan tahniah di atas kejayaan anda. Jadikanlah ia satu inspirasi dan bukti nyata kecemerlangan dan pengiktirafan yang pernah kita terima dalam bidang kewartawanan dan media.

"Kepada yang belum berjaya, ingatlah bahawa setiap usaha yang anda lakukan adalah penting dan berharga. Jangan berhenti untuk terus menghasilkan karya dan berita berinformasi dan pada masa yang sama mampu mendidik rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Encik Sayed Mohd Hesham bin Syed Idris berkata, penganjuran anugerah media ini amat besar maknanya buat semua petugas media.

"Bukan sekadar meraikan media, tetapi turut mengiktiraf kerjasama serta sumbangan pengamal media Perak yang selama ini banyak membantu dalam menyebarluas liputan dan publisiti mengenai kerajaan negeri," katanya.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi; YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Encik Anuar bin Zainal Abidin dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.