YAB Perdana Menteri Tutup Tirai Program Madani Rakyat Zon Tengah 2024 : 25 Februari 2024

YAB Perdana Menteri Tutup Tirai Program Madani Rakyat Zon Tengah 2024.

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim meluangkan masa untuk melawat reruai Perak di program berkenaan

KUALA SELANGOR, 25 Februari 2024 - YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah 2024 di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, hari ini.

Ketibaan beliau diiringi oleh YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu; YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali.

Menurut sekretariat penganjur, program yang melabuhkan tirai hari ini merekodkan jumlah 127,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung, melepasi sasaran awal 100,000 orang.

Tambahnya lagi, program ini adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.

Antaranya, Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, kaunter pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu selain penukaran topi keledar untuk 1,000 orang pengunjung terawal setiap hari.

Selain itu, pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi serta temu duga terbuka peluang pekerjaan.

Program Madani Rakyat akan diteruskan ke Zon Utara selepas ini dengan Pulau Pinang dijadual menjadi tuan rumah pada 27 hingga 29 April, Zon Timur di Pahang (28-30 Jun), Zon Selatan di Johor (25-27 Julai) diikuti Sarawak (27-29 September) dan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Oktober.

Hadir sama mewakili Kerajaan Negeri Perak, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin.

Reruai Kerajaan Negeri Perak memberi fokus kepada Pelan Perak Sejahtera 2030, Tahun Melawat Perak 2024, Usahawan@Perak, Hab Daging Halal@Halal Hub, Centre of Investment (COI) Pelaburan Perak serta diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.