DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Lancar Program HPV “Leaving No One Behind” : 28 Februari 2024

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Lancar Program HPV “Leaving No One Behind”.

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan ketika lafaz perasmian Program Vaksinasi HPV "Leaving No One Behind"

IPOH, 28 Februari 2024 -DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan program vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini.

Program tersebut menyaksikan lebih kurang 500 orang wanita dan remaja perempuan berusia 13 hingga 20 tahun menerima suntikan vaksin HPV secara percuma di Kawasan Parlimen Tambun.

Selain itu, ia merupakan sebuah program yang sedang dijalankan di seluruh negara dan dijayakan dengan kerjasama rapat NCSM dengan Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk mengenal pasti wanita dan remaja perempuan kurang kemampuan dan kurang upaya yang masih belum dilindungi vaksin HPV di setiap kawasan Parlimen.

Isteri YAB Perdana Menteri, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Ismail ketika sembah ucapan berkata, kerjasama rapat antara kerajaan, NGO dan swasta telah membuktikan masyarakat sivil di Malaysia masih utuh dan stabil.

“Usaha seperti ini perlu dijayakan melalui kesedaran awal, termasuk dengan memastikan tiada siapa tertinggal dalam pengambilan vaksin HPV di peringkat awal.

“Selain itu, menerusi program vaksinasi HPV percuma ini, jurang penjagaan kanser dalam negara juga dapat ditingkatkan, khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan berisiko,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan.

Dalam program tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim turut berkenan menyampaikan anugerah penghargaan kepada para penaja dan NGO yang telah membantu menjayakan program vaksinasi HPV “Leaving No One Behind”.

Salah satu yang menerima anugerah penghargaan tersebut ialah Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang dianggotai oleh 16 syarikat kolektif dan telah memberi sumbangan sebanyak RM3 juta kepada program vaksinasi tersebut.

Sumbangan terbesar tersebut yang diumumkan kali pertama dalam majlis sambutan Hari Kanser Seduni pada 17 Februari lalu dengan tujuan menampung sebahagian kos pentadbiran sepanjang program vaksinasi HPV yang telah dijalankan di seluruh negara.

Hadir sama dalam program tersebut, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Aezer binti Zubin; isteri kepada YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Rasiah binti Md Nor; isteri kepada YB Yang Di-pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; isteri kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YBhg. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Nurhayati binti Rusli; YBhg. Presiden NCSM, Dato’ Dr. Saunthari Somasundram; YBrs. Pengarah Urusan NCSM, Prof Madya Dr. Murallitharan Munisamy serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Sumber : Korporat, SUK Perak.