YAB Menteri Besar Perak Bangga MBI Diiktiraf PBT Terbaik Di Malaysia 2016 : 17 Ogos 2017

YAB Menteri Besar Perak Bangga MBI Diiktiraf PBT Terbaik Di Malaysia 2016

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco.

IPOH, 17 OGOS 2017 - Lima pendekatan utama yang diamalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melayakkan agensi itu dinobatkan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik Malaysia bagi tahun 2016.

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berkata, ia meliputi perkara seperti memberi rangsangan kepada warga kerja, semangat berpasukan, memecahkan benteng protokol, penghargaan dan istiqamah.

Beliau berkata, kelima-lima pendekatan itu juga perlu dikekalkan bagi memastikan kepentingan semua pihak terutama rakyat, terjamin.

“Mereka juga mestilah istiqamah dalam gerak kerja mereka, jangan cepat kecewa dengan kritikan dan anggaplah kritikan itu sebagai satu cabaran positif untuk mereka buktikan yang lebih baik lagi,” ujar beliau ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK).

Pada Isnin lalu, MBI telah dinobatkan sebagai PBT Terbaik di Malaysia selain dianugerahkan penarafan lima bintang PBT 2016 bagi negeri Perak.

Perkara itu diumumkan YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Bin Haji Omar di Ipoh Convention Centre (ICC).

Dalam perkembangan sama, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berkata, MBI perlu mengekalkan prestasi yang digapai sekali gus menjadikan Ipoh sebagai antara bandaraya terbaik di negara ini.

”MBI mungkin boleh meletakkan sasaran dalam kumpulan tiga atau lima terbaik kerana saingan selepas ini sudah tentu lebih hebat lagi khususnya di kalangan PBT lain,” kata beliau.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa bangga kerana tujuh lagi PBT lain di Perak turut menerima penarafan lima bintang, antaranya Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

Sumber : Korporat, SUK Perak.