Kompleks Akuatik Perak Amanjaya Antara Terbaik Di Malaysia : 16 Mac 2018

Kompleks Akuatik Perak Amanjaya Antara Terbaik Di Malaysia

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Kompleks Akuatik Perak Amanjaya.

IPOH, 16 MAC 2018 - Kompleks Akuatik Perak Amanjaya bernilai RM45 juta disifatkan antara terbaik di Malaysia berdasarkan kemudahan infrastruktur yang diiktiraf mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Renang Amatur Antarabangsa (FINA).

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, pembinaan kompleks yang mampu memuatkan 3,000 penonton itu mengambil masa selama 19 bulan dan ia telah siap sepenuhnya pada Februari lalu. 

"Antara kemudahan yang terdapat di sini adalah saiz kolamnya yang memenuhi tahap Olimpik di mana menempatkan 10 lorong berbanding lapan lorong untuk mana-mana kejohanan dunia. 

"Kemudahan lain adalah call rooms, bilik persalinan, tandas, skrin LED dan sebagainya. Kompleks ini juga turut dilengkapi tahap pencahayaan lampu limpah sekitar 600 lux sepertimana ketetapan FINA," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kompleks Akuatik Perak Amanjaya.

Beliau berkata, kompleks itu juga nanti akan dibuka kepada orang awam bermula 1 Mei depan selepas proses penilaian akhir dilakukan pihak berwajib. 

"Kita juga akan kenakan bayaran cumanya ia belum ditetapkan namun saya percaya ia akan dicaj dengan kadar yang berpatutan," kata beliau. 

Dalam perkembangan berkaitan,  YB Dato’ Seri Abdul Puhat berkata, Perak yakin sasaran untuk mengutip 70 pingat emas akan dapat direalisasikan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 berdasarkan komitmen dan semangat jitu yang ditunjukkan para atlet. 

Katanya, beliau turut mengharapkan sukan renang dan terjun akan terus menjadi penyumbang utama pingat kepada kontinjen negeri. 

"Berdasarkan pengalaman, sukan renang dan terjun tidak pernah menghampakan dan saya yakin kita mampu memperoleh hingga enam pingat dalam sukan renang dan lima pingat bagi acara terjun. Kita harapkan jumlah itu akan digandakan pada SUKMA kali ini," ujar beliau.

Kompleks Akuatik Perak Amanjaya Antara Terbaik Di Malaysia

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika menandatangani dokumen penyerahan hak milik antara kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Kompleks Akuatik Perak Amanjaya Antara Terbaik Di Malaysia

YB Setiausaha Kerajaan bergambar bersama jawatan kuasa penganjur dan pihak berwajib yang bakal menganjurkan SUKMA 2018.

Kompleks Akuatik Perak Amanjaya Antara Terbaik Di Malaysia

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama sebahagian atlet renang yang akan beraksi mewakili Perak dalam SUKMA yang bakal menjelang.

Sumber : Korporat, SUK Perak.