DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak : 26 Jun 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meletakkan keris sebagai gimik perasmian Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong dan Pejabat Agama Daerah Lenggong.

LENGGONG, 26 JUN 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian serentak Pejabat Daerah & Tanah Lenggong dan Pejabat Agama Daerah Lenggong di sini, hari ini.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal, barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

YAB Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dalam ucapannya berkata, pembinaan kedua-dua premis itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi setempat serta limpahan manfaat kepada negeri Perak.

“Diharapkan juga semoga pembinaan premis baharu Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong serta Pejabat Agama Daerah Lenggong, akan memberikan semangat baru kepada serta keselesaan kepada kakitangan di jabatan ini, selain memberikan kemudahan kepada masyarakat di daerah kecil Lenggong ini,” kata beliau.

Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong yang bernilai RM4.3 juta mula dibina pada 9 November 2011 dan siap pada 29 Mac 2013.

Bangunan baharu yang lebih moden dan luas itu, mengandungi sebuah bilik gerakan yang mampu memuatkan 50 orang ahli mesyuarat, tiga buah bilik mesyuarat kecil, sebuah bilik kebal, sebuah bilik server dan tiga ruang kerja yang mampu menempatkan sehingga 80 kakitangan pada satu-satu masa.

Manakala Pejabat Agama Daerah Lenggong yang bernilai RM3.3 juta, mula dibina 14 November 2011 dan diserahkan kepada kerajaan pada 12 Disember 2013.

Bangunan tersebut dibina bagi menggantikan bangunan asal Pejabat Pentadbiran Agama Islam Lenggong di tengah Pekan Lenggong yang telah dibina pada tahun 1958.

Bangunan pejabat baharu ini terletak di persimpangan pertama jalan masuk ke Pekan Lenggong dari Jalan Kuala Kangsar – Gerik, di dalam Mukim Temelong.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Perak berkenan menandatangani plak perasmian membabitkan kedua-dua pejabat kerajaan tersebut.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli mencuba peralatan yang digunakan Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Perak ketika melihat model pembangunan yang dibuat membabitkan kedua-dua pejabat kerajaan berkenaan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim bersama kakitangan Pejabat Agama Daerah Lenggong.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Dua Pejabat Kerajaan Serentak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Tuanku Zara Salim bersama kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong.

Sumber : Korporat, SUK Perak.