DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf : 20 Julai 2018

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan beramah mesra dengan tetamu yang hadir dalam program tersebut.

IPOH, 20 JULAI 2018 - DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Waqaf Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) - All Women Empowerment To Accelerate (AWETA) di Casuarina@Meru.

Makan malam yang julung kali diadakan itu turut disertai YBhg Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Binti Syed Abdul Kadir dan YBhg Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Bin Kardi.

Pada majlis tersebut, turut diperkenalkan 17 calon peserta All Women Expedition To Antartica yang akan dipilih lima daripadanya untuk menyertai ekspedisi ke Antartika bagi misi mencari kapsul masa yang tertanam di tempat terbabit.

Pengarah Projek All Women Expedition to Antartica, YBhg Dato’ Noorizah Binti Abd Hamid berkata, kapsul masa itu ditanam oleh Dr Sharifah Mazlina Binti Syed Abdul Kadir pada tahun 2004 dan calon berkenaan akan menjadi protege yang bakal diangkat menjadi ikon negara yang baharu.

“Sekalung penghargaan kepada pihak USAS yang memberikan kepercayaan dan sokongan kepada pihak AWETA untuk menganjurkan majlis tersebut.

“Selain mengisi tabung Wakaf USAS, penganjuran majlis ini juga merupakan platform AWETA untuk mencari dana bagi tujuan ekspedisi lima protege ke Antartika,” kata beliau.

Dalam pada itu, Tan Sri Dr Nordin Bin Kardi berkata, majlis makan malam berkenaan berjaya mengumpul hampir RM500,000.00 hasil daripada jualan meja dan sumbangan korporat.

Beliau berkata, majoriti sumbangan itu akan disalurkan terus kepada Wakaf USAS manakala selebihnya diserahkan kepada AWETA.

“Idea makan malam ini adalah idea AWETA dan mereka gerakkan usaha bagi menjayakannya.

“Kita berikan sebahagian dana ini kepada AWETA kerana mereka melaksanakan dan memastikan majlis tersebut berjaya,” ujar beliau.

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

Ketua Pegawai Eksekutif K-Perak, Encik Nazaruddin Bin Mohd Yusoff turut menyampaikan sumbangan yang diwakafkan kepada USAS.

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

PKNP antara pihak yang bekerjasama dalam menaja lokasi makan malam yang dianjurkan USAS.

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

YBhg. Pengarah LAP, Dato' Ir Mohd Yusof Bin Mohd Isa menyerahkan replika cek bernilai RM50,000 yang diwakafkan kepada Naib Canselor USAS, YBhg. Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi.

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim beramah mesra dengan tetamu kehormat yang dijemput khas ke program berkenaan.

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Meriahkan Majlis Makan Malam Amal Waqaf

Dr Sharifah Mazlina Binti Syed Abdul Kadir memperkenalkan 17 protege yang akan dipilih bagi menyertai ekspedisi ke Antartika bagi mencari kapsul masa yang tertanam di tempat terbabit.

Sumber : Korporat, SUK Perak.