Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak : 3 Januari 2019

Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Encik Yong Choo Kiong ketika berucap pada majlis berkenaan.

IPOH, 3 JANUARI 2019 - Kerajaan negeri menegaskan lebih 5,000 pengguna telah memuat turun aplikasi Park@Perak sejak ia dilancarkan melalui sistem Android pada 1 Januari lalu.

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Encik Yong Choo Kiong berkata, pihaknya optimis jumlah pengguna itu akan meningkat selepas aplikasi itu dilancarkan melalui sistem iOS pada 20 Januari ini.

"Ini satu perkembangan yang baik. Sejak dua hari dilancarkan, lebih 5,000 orang (pengguna) sudah memuat turun aplikasi ini melalui sistem android di telefon masing-masing.

"Kita juga yakin peningkatan daripada sudut bilangan pengguna aplikasi ini  akan berlaku daripada semasa ke semasa termasuk selepas ia dilancarkan melalui sistem iOS mulai 20 Januari ini," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Kampung Baharu di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan seramai 91 individu telah menerima watikah pelantikan ketua kampung baharu membabitkan seluruh negeri Perak.

Beliau berkata, orang ramai terutama rakyat di negeri ini digalakkan untuk menggunakan aplikasi berkenaan kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.

Tambah beliau, bagaimanapun kupon parkir sedia ada masih boleh digunakan oleh orang ramai sehingga 31 Mac depan sebelum penyeragaman harga dilaksanakan.

"Aplikasi mungkin beri sedikit kesukaran kepada golongan berumur untuk memuat turun di telefon mereka. Jadi, kita bagi kelonggaran untuk benarkan kupon sedia ada digunakan sehingga 31 Mac dan sebelum penyeragaman harga parkir dibuat," kata beliau.

Selain itu, beliau yang merupakan YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh berkata, pihaknya dalam proses akhir menyeragamkan harga kupon parkir menerusi aplikasi Park@Perak sebelum ia dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diwartakan.

"Di Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), RM0.60 sejam, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) RM0.40 sejam dan Majlis Bandaraya Ipoh RM0.60 sejam.

"Oleh itu, kita mahu seragamkan harga iaitu setengah jam RM0.30, RM0.60 (sejam) dan RM4.00 bagi sehari di seluruh negeri agar memberikan kemudahan kepada orang ramai serta pelancong," ujar beliau.

Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut.

Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Encik Yong Choo Kiong bersama ketua kampung baharu yang menerima watikah pelantikan daripada kerajaan negeri.

Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Encik Yong Choo Kiong bersama segelintir ketua kampung baharu yang menerima watikah pelantikan dalam majlis berkenaan.

Lebih 5,000 Pengguna Muat Turun Aplikasi Park@Perak

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Encik Yong Choo Kiong ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang ketua kampung baharu dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.