Pertahankan Kemurnian, Kesucian Serta Keagungan Syiar Islam – DYMM Sultan Perak - 12 Jun 2014

IPOH, 12 JUN 2014 - DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa titah ucapan baginda menyeru umat Islam dan institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam agar mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam sebaik mungkin. Menurut baginda, tanggungjawab tersebut hendaklah disempurnakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk kata-kata yang diungkapkan.

“Umat Islam dan institusi yang berkaitan wajib memperlihatkan sebaik contoh teladan ketika memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakan secara amanah, jujur, adil dan saksama. Umat Islam wajib mencerminkan minda berilmu dan berperibadi mulia. Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsur-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan, berlandaskan hikmah dan bersandarkan timbang rasa. ” titah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Persidangan Ke-187 Majlis Agam Islam dan Adat Melayu Perak di Dewan Persidangan Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menzahirkan ucapan terima kasih buat kerajaan negeri, anggota tentera, anggota polis, agensi kerajaan dan sebagainya yang terlibat dalam urusan pengendalian pemakaman ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Terdahulu sebelum persidangan bermula DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Zakat Perniagaan Tahun 2013 daripada 7 agensi yang berjumlah RM4.58 juta di Auditorium Utama Kompleks Islam.

Turut hadir di Persidangan Ke-187 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika mempengerusikan Persidangan Ke-187 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
Antara dif-dif kehormat dan barisan EXCO Kerajaan Negeri yang hadir ke Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan Tahun 2013 di Auditorium Utama Kompleks Islam.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YAB Menteri Besar,dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, membaca doa selamat setelah Majlis Penyerahan Cek zakat Perniagaan selesai.
Wakil penyerah zakat, YBhg. Dato' Seri Ismail Shahudin dari Maybank Islamic Berhad menyerahkan Zakat Perniagaan kepada DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sumber: Korporat, SUK Perak.