Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Adilfitri 2014 - 24 Julai 2014

YB Pengerusi MKJR Perak, Dato' Zainol Fadzi bin Paharuddin dalam upacara flag-off konvoi kenderaan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2014.

IPOH, 24 JULAI 2014 - Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan PLUS telah menganjurkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak.

YB Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin berkata, kempen keselamatan jalan raya kali ini memberi penekanan secara menyeluruh pada semua peringkat umur dan aspek keselamatan ini harus difahami dan dipraktikkan oleh semua golongan tanpa mengira usia muda atau tua.

“Golongan dewasa terutamanya, kita perlu menjadi contoh dan iktibar kepada pengguna-pengguna jalan raya yang masih muda. Golongan dewasa sebenarnya merupakan stimulasi kepada pembentukan sikap pengguna-pengguna jalan raya daripada golongan muda-mudi.” kata YB Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin ketika Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Terminal Aman Jaya, Meru Raya.

YB Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin turut menyeru pihak-pihak yang berkenaan untuk memperbanyakkan lagi usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat, supaya peka akan kemampuan dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha meningkatkan keselamatan di jalan raya.

Ketibaan YB Dato' Zainol Paharuddin diiringi Ketua Polis Perak.
YB Dato' Zainol Fadzi bin Paharuddin menyerahkan poster kempen keselamatan jalan raya kepada semua ketua polis daerah di Perak.
Kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut serta dalam upacara flag-off.

Sumber: Korporat, SUK Perak.