Majlis Penyediaan Dan Penyerahan Bubur Lambuk Kepada Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan : 1 April 2024

Majlis Penyediaan Dan Penyerahan Bubur Lambuk Kepada Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Puan Anita binti Amri menerima bubur lambuk mewakili Bahagian Korporat.

IPOH, 1 April 2024 - Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada warga Bangunan Perak Darul Ridzuan sempena Majlis Penyediaan dan Penyerahan Bubur Lambuk bertempat di parkir bas, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Program anjuran Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) ini telah dijalankan secara gotong-royong oleh kira-kira 200 orang ahlinya bermula seawal jam 8.30 pagi bagi penyediaan bahan mentah sehinggalah kepada proses memasak, membungkus serta edaran.

Simbolik penyerahan bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Yang Dipertua KESEDAR, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Naib Yang Dipertua KESEDAR, Dato’ Nor Sham binti Rahman.

Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Jenny Choy Tsi Jen dan barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bubur lambuk ini turut diedarkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dan Lembaga Muzium Negeri Perak selaku ahli KESEDAR.

Dalam perkembangan sama, program ini merupakan acara tahunan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga bangunan di samping memupuk sifat bersedekah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.