Kerajaan Negeri Perak Sampaikan Insentif Kepada Para Pesara : 3 April 2024

Kerajaan Negeri Perak Sampaikan Insentif Kepada Para Pesara.

Para penerima bergambar bersama

IPOH, 3 April 2024 - Kerajaan Negeri Perak telah menyampaikan insentif berjumlah RM4,000 kepada pesara Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri Perak.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.

Menurutnya dalam satu kenyataan, kriteria yang telah ditetapkan adalah pesara kumpulan pengurusan dan professional yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih serta pesara kumpulan pelaksana yang telah berkhidmat 20 tahun dan lebih. Perkhidmatan dikira secara terkumpul dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan perlu berusia 50 tahun ke atas.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyampaikan cenderamata persaraan sebanyak RM400 seorang kepada semua pesara termasuk pesara yang tidak layak menerima insentif kerana tempoh berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak kurang daripada kriteria yang telah ditetapkan.

Dua kategori penerima tersebut adalah pesara yang layak akan menerima insentif dan cenderamata persaraan berjumlah RM4,400 dan pesara yang tidak layak akan menerima cenderamata persaraan berjumlah RM400.

Pemberian insentif dan cenderamata persaraan ini diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN).

Majlis penyampaian pada hari ini melibatkan seramai 10 orang wakil Pesara Kerajaan Negeri Perak bagi tempoh 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2023 daripada jumlah keseluruhan pesara iaitu 749 orang yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM2,739,600.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin.

Terdahulu, turut berlangsung Majlis Penyerahan Goodies Hari Raya Aidilfitri YAB Menteri Besar Perak kepada seluruh warga Bangunan Perak Darul Ridzuan dan para media.

Sumber : Korporat, SUK Perak.