Tiga Daerah Di Perak Rekod Kemalangan Tertinggi : 5 April 2024

Tiga Daerah Di Perak Rekod Kemalangan Tertinggi.

YB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar bin Jamaluddin menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

TAPAH, 5 April 2024 - Perak kenal pasti tiga daerah yang merekodkan kemalangan tertinggi di sini. Daerah tersebut adalah Kinta, Manjung dan Taiping.

YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar bin Jamaluddin berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi di stesen minyak Petronas Tapah.

“Berdasarkan statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 495,829 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 5,049 kematian.

“Statistik kemalangan bagi Perak pula merekodkan sebanyak 3,551 kes kemalangan dengan mencatatkan sebanyak 52 kes kemalangan maut dan 58 kes kematian. Daripada jumlah tersebut, Kinta (Ipoh) mencatatkan jumlah kemalangan yang tertinggi iaitu sebanyak 1,330 kes dengan 8 kes kematian.  Diikuti Taiping 344 kes dengan 8 kematian dan Manjung 277 kes dengan 4 kematian,” jelasnya ketika bertemu dengan para pengamal media di majlis berkenaan.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada kemalangan tersebut antaranya sikap pengguna jalan raya yang tergesa-gesa ingin pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, kenderaan yang kurang diselenggara dan kondisi jalan raya yang tidak sempurna.

Menurutnya, selain daripada program advokasi, operasi penguatkuasaan sepanjang musim perayaan akan diteruskan dalam memastikan pengguna sentiasa mematuhi peraturan lalulintas.

“Aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan menerusi kaedah ‘penyamaran’ sebagai penumpang bas ekpres, pelaksanaan Perception of Being Caught (POBC) secara rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan dan Ops Khas Motosikal yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan.

 Dalam perkembangan sama, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perak telah menganjurkan program Happy Hour Free Fuel, Free Road Fatality@Petronas Tapah melibatkan aktiviti pemberian minyak RON 95 secara percuma sebanyak RM30 kepada 300 buah kereta dan RM5 kepada 500 buah motosikal.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Perak, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, YBrs. Tuan Aedy Fadly bin Ramli; Pengarah JPJ Negeri Perak, YBrs. Tuan Mohammad Yusoff bin Abustan; Pegawai Daerah Batang Padang, YBrs. Tuan Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori dan Ketua Runcit Wilayah Utara, PETRONAS Dagangan Berhad, Encik Ahmad Rafaie bin Hj. Abdullah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.