Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat - 11 November 2014

integriti

Ipoh, 11 November 2014 - Satu majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (Corporate Integrity Pledge :CIP) bagi pembekal- pembekal yang berurusan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pada majlis tersebut, beberapa orang wakil pembekal telah dijemput naik ke pentas bagi gimik menandatangani Ikrar Integriti Korporat dengan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, YBhg. Pengarah SPRM Negeri Perak, Dato’ Hajah Noraziah binti Abdul Manaf dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Razali bin Othman.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan semasa ucapan beliau berkata, tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk memastikan setiap pihak agar lebih berintegriti bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Dan apabila ketirisan berlaku, ia akan melibatkan kos-kos yang tinggi dan secara tidak langsung kos-kos yang tinggi ini terpaksa ditanggung oleh pembayar-pembayar cukai iaitu orang yang tidak terlibat.” kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

YB Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dalam ucapan beliau lagi melahirkan hasrat kerajaan negeri supaya semua jabatan-jabatan kerajaan di negeri Perak ini akan mengadakan ikrar yang sama melibatkan pembekal dan kontraktor-kontraktor kepada jabatan masing-masing.

“Matlamat kita mudah sahaja, apabila kita membuat ikrar maknanya kita telah berjanji makna ia akan dapat mengurangkan dan menghapuskan elemen-elemen seperti rasuah dan sebagainya. Jadi apabila elemen-elemen ini dapat kita kurangkan, kos kepada barang-barang tersebut akan menjadi lebih murah sekaligus mendatangkan manfaat kepada semua orang.” kata beliau lagi sempena ucapan di Majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat tersebut.

Menurut beliau lagi, memang sukar bagi kerajaan negeri untuk menghapuskan seratus peratus masalah dan kegiatan tidak sihat ini , tetapi kerajaan negeri akan cuba mengurangkan semaksimum yang mungkin seperti telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) yang diuruskan oleh YAB Menteri Besar . Sebanyak 372 pembekal yang terdiri dari beberapa kategori seperti pembekal makanan, bekalan pejabat dan penyelengaraan telah dijemput bagi menghadiri taklimat dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

integriti 5 orang wakil pembekal menandatangani Ikrar Integriti Korporat sambil disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri.
integriti Salah seorang wakil pembekal, En Ali Jinnah bersalaman bersama YB Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan selepas selesai Majlis Menandatangi Ikrar Integriti Korporat di Dewan Bankuet Ipoh.
integriti Wakil pihak pembekal menyerahkan Ikrar Integriti Korporat kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri.
integriti Wakil-wakil pembekal mengangkat tangan ketika Bacaan Ikrar Integriti Korporat.
integriti YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersalaman dan beramah mesra bersama wakil-wakil pembekal yang hadir.

Sumber: Korporat, SUK Perak.