3000 Bubur Lambuk Diedar : 1 Julai 2015


YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan menerima bubur lambuk daripada YAB Menteri Besar Perak.

IPOH, 01 Julai 2015 – Bersempena dengan sambutan bulan Ramadhan tahun ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK), telah mengedarkan sebanyak 3000 bekas bubur lambuk beserta telur masin dan sambal tumis petai kepada warga kerja Bangunan Perak Darul Ridzuan dan 13 jabatan-jabatan sekitar seperti Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Sukan Negeri, Muzium, Lembaga Air Perak, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Majlis penyerahan bubur lambuk disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan; EXCO Kerajaan Negeri YB Dato’ Saarani bin Mohamad; YB Dato’ Drs. Mohd Nizar bin Zakaria, YB Datuk Shahrul Zaman bin Yahya; YB Kewangan Negeri Perak, Dato Haji Mohd. Gazali bin Jalal, dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan ), Dato’ Haji Razali bin Othman.

Terdahulu, sebelum majlis penyerahan bubur lambuk, warga kerja Bangunan Perak Darul Ridzuan telah bergotong-royong seawal jam 8.00 pagi bagi menyediakan dan memasak sebanyak sepuluh periuk bubur lambuk di perkarangan parkir bas, Bangunan Perak Darul Ridzuan sebelum diisi ke dalam kotak plastik untuk diagihkan.

Bacaan doa sebelum Majlis Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2015.

Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan sedang memasak bubur lambuk di perkarangan pakir Bas SUK Perak.

Warga Bangunan Pejabat SUK sedang bergotong royong menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur lambuk.

Bubur lambuk yang telah siap dimasak yang telah dimasukkan ke dalam bekas sebelum diagihkan.

Pembungkusan Sambal Tumis Petai oleh warga Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk diagihkan bersama bubur lambuk.

 Sumber: Korporat, SUK Perak.