Budaya Kerja Tahun 2014 – YAB Menteri Besar Perak – 9 Januari 2014

IPOH, 9 JANUARI 2014 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir semasa berucap di Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2014 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini memperkenalkan pendekatan 3P baharu mengenai budaya kerja kakitangan perkhidmatan awam khususnya di Negeri Perak pada tahun 2014.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dalam ucapan Amanat 2014 beliau berharap kakitangan perkhidmatan awam menjalankan kerja pada tahun 2014 melalui pendekatan budaya kerja 3P iaitu Peranan, Persekitaran dan Pembangunan.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir berkata, maksud Peranan dalam budaya kerja ialah setiap penjawat awam perlu tahu peranan mereka dalam menjalankan tugas. Iaitu meneruskan agenda Negeri Perak iaitu Agenda Perak Amanjaya. Dalam ucapan beliau lagi, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyeru kakitangan awam bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan.

Melalui pendekatan Persekitaran dalam budaya kerja pula, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir berkata penjawat awam perlu faham negeri tempat mereka bekerja dan berhubung dengan kakitangan di setiap daerah. Tambah beliau, komunikasi ini amat penting khususnya komunikasi antara jabatan agar jabatan-jabatan ini sentiasa dapat bertukar pandangan antara satu jabatan dengan jabatan yang lain. Beliau juga berharap kakitangan awam perlulah menghormati antara satu sama lain.

Melalui pendekatan budaya kerja 3P terakhir, iaitu Pembangunan, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyentuh mengenai pembangunan fizikal dan diri sendiri. YAB Menteri Besar Perak berharap agar setiap penjawat awam perlulah menggilapkan lagi diri sendiri seperti mengambil peluang belajar bagi meningkatkan taraf pendidikan diri sendiri.

“Kakitangan perkhidmatan awam hendaklah sentiasa meneruskan budaya untuk memperbaiki diri sendiri dengan sentiasa belajar apabila ditegur dan mengambil teguran yang baik itu untuk panduan diri kita” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dalam ucapannya.

Turut hadir sempena Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2014 YAB Menteri Besar Perak, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan yang turut memberi ucapan pembukaan di majlis tersebut.

 

Sumber : Korporat, SUK Perak.