DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar : 28 Februari 2017

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melafazkan Lafaz Perasmian Kompleks Pentadbiran Majis Daerah Kampar.

28 FEBRUARI 2017, KAMPAR - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar, Perak.

Keberangkatan baginda ke perkarangan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar turut diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Terdahulu ketika menyampaikan sembah ucapan di majlis perasmian tersebut, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi & Multimedia Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi berkata, Kerajaan Negeri Perak komited dalam usaha mewujudkan pihak berkuasa tempatan yang berdaya saing, dinamik dan mapan dalam memberikan perkhidmatan perbandaran yang berkualiti sekali gus mentransformasikan perkhidmatan awam di negeri ini.

Menurut YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi, pembinaan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar yang menelan belanja keseluruhan RM 6.9 juta ini merupakan cerminan kepada komitmen bersama kerajaan negeri dan Majlis Daerah Kampar dalam menyediakan ekosistem kerja yang kondusif sekali gus mampu meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, dan menggalakkan pembangunan daerah Kampar.

“Seperti yang kita sedia maklum, daerah Kampar yang dahulunya dikenali sebagai “Kinta Selatan” merupakan daerah ke-10 di negeri Perak setelah di isytihar secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 21 Mei 2009. Sejak itu, kerajaan negeri dan kepimpinan daerah berazam untuk membangunkan daerah Kampar ini agar mencapai kemajuan, kemakmuran, dan kesejahteraan berdasarkan potensi tingginya sebagai bandar yang semakin berkembang maju di Perak.”

“Perkembangan mutakhir ini, pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuk di Kampar telah semakin rancak. Pembangunan bandar permotoran pertama Asia Tenggara iaitu T-City di Gopeng bernilai RM 15.1bilion sedang rancak didirikan di atas kawasan seluas 435 ekar.  Bandar Baru Kampar pula terus berkembang sebagai kawasan kediaman. Dua terminal pengangkutan bersepadu atas inisiatif kerajaan dan swasta juga sedang giat dimulakan pembinaannya sebagai memenuhi keperluan infrastruktur penduduk daerah ini. Namun apa yang menarik, dalam kerancakan pembangunan, Majlis Daerah Kampar juga komited memelihara alam sekitar dengan pembangunan inisiatif kejiranan hijau mereka sebagai kelangsungan usaha melahirkan perbandaran yang lestari.” kata YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi.

Bangunan baru yang berkeluasan 1196.26 meter persegi yang terletak di Padang Tembak, Kampar ini telah dibina dengan nilai RM 6.9 juta dan sebahagiannya dibiayai daripada pinjaman Kerajaan Negeri berjumlah RM 4 juta.

Bangunan pejabat ini turut menyediakan ruang pejabat yang menempatkan seramai 117 orang kakitangan, bilik mesyuarat yang boleh menempatkan 45 orang pada satu masa, kemudahan auditorium yang boleh menempatkan seramai 190 orang, surau, bilik komputer dan kemudahan-kemudahan lain seperti kafeteria.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar

Yang DiPertua Majlis Daerah Kampar En Khairul Amir Mohamad Zubir memberikan penerangan berkenaan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak ketika gimik perasmian Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli bersalaman bersama tetamu-tetamu yang hadir ke majils tersebut.

DYMM Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak bergambar bersama-sama dif-dif kehormat setelah selesai majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.