Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian : 4 Januari 2018

Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian

DYMM Sultan Nazrin Shah berkenan menerima Zakat Perniagaan daripada Encik Syed Amir Nidzamudin Bin Dato' Syed Abu Hussin.

IPOH, 4 JANUARI 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah isu pemilikan harta dan kekayaan umat Islam di negara ini yang lebih rendah berbanding bukan Islam serta masalah aset umat Islam bernilai puluhan bilion ringgit yang tidak produktif, perlu ditangani sewajarnya

Titah Baginda, pemilikan harta dan kekayaan umat Islam di negara ini lebih rendah berbanding bukan Islam, sekali gus memerlukan usaha segera bagi mengelak masalah itu semakin 'membesar'.

"Keadaan lebih merisaukan apabila Beta disembah maklum, dianggarkan RM60 bilion nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut selain aset yang beku disebabkan masalah faraid setelah berlakunya kematian pemilik aset," titah baginda.

Sehubungan itu, DYMM Sultan Nazrin Shah meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menggerakkan langkah aktif dalam usaha membantu menyelesaikan masalah aset umat Islam yang tidak produktif.

Baginda menyarankan MAIPK dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama seluruh masjid dan surau, agensi kerajaan dan swasta serta media menganjurkan secara besar-besaran program mendidik umat Islam melakukan hibah.

DYMM Sultan Nazrin Shah bertitah demikian pada majlis penganugerahan watikah lantikan 22 Ahli MAIPk bagi sesi 2018-2020, sembilan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan 10 Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak.

Hadir sama YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal dan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria.

DYMM Sultan Nazrin Shah turut berkenan menerima cek zakat perniagaan bernilai keseluruhan RM2,687,420.96 daripada empat pihak sebelum menyerahkannya kepada Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Baginda juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan dana wakaf MAIPk di antara MAIPk dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

Usaha sama itu membabitkan ahli AIBIM, iaitu Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Berhad.

Bank berkenaan akan menyediakan platform pengutipan dana wakaf daripada penyumbang melalui pelbagai saluran sebelum diagih kepada projek yang menjurus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.

Pihak bank juga akan membantu MAIPk menjalankan pemasaran dan pelaporan balik projek bagi membina keyakinan penyumbang dana wakaf.

Baginda turut berpuas hati dengan prestasi MAIPk yang berjaya meningkatkan kutipan zakat daripada RM57.96 juta pada 2008 kepada RM167.43 juta tahun lalu dengan purata pertumbuhan 11 peratus setahun, selain menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah.

DYMM Sultan Nazrin Shah bagaimanapun mahu usaha penambahbaikan seperti kaedah kutipan lebih mesra pelanggan dan keberkesanan agihan, terutama usaha menangani kemiskinan, terus dirintis dan diteroka.

Langkah itu, titah baginda, supaya masih ramai umat Islam dalam kategori miskin yang wajib dibantu mendapat bantuan berkenaan.

"Modul bantuan yang lebih inovatif, yang berupaya memberi impak berkesan hingga berjaya mengeluarkan golongan penerima daripada kepompong kemiskinan wajib diperkenalkan," titah baginda.

Baginda turut menegaskan, matlamat perlu ditetapkan supaya golongan penerima berkenaan dapat ditransformasikan sebagai pembayar zakat.

Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian

Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Pembangunan Dana Wakaf MAIPK Dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian

DYMM Sultan Perak menyerahkan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Negeri Perak Kepada YA Tan Sri Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman.  

Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian

DYMM Sultan Nazrin Shah menyerahkan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kepada Tan Sri Dato' Seri Dr. Harussani Bin Haji Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Isu Pemilikan Harta Dan Kekayaan Umat Islam Perlu Diberi Perhatian DYMM Sultan Nazrin Shah menyerahkan watikah pelantikan ahli MAIPK sesi 2018-2020 kepada YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.