MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018 : 24 Januari 2018

MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018

YB Dato' Hj Mohd Gazali Bin Jalal bersama beberepa atlet yang memenangi acara individu di Kejohanan MAKSAK Malaysia 2016 dan 2017.

IPOH, 24 JANUARI 2018 - Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Perak meletakkan sasaran menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam Kejohanan MAKSAK Malaysia 2018 yang dijangka bermula pada 8 Februari depan.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, sebanyak sembilan acara sukan disasarkan mendapat tempat pertama, 7 acara untuk tempat kedua dan 20 acara lain dikenal pasti berpotensi untuk meraih kedudukan ketiga.

"Perak akan menyertai semua acara yang dipertandingkan dengan sasaran utama ialah menduduki tempat ketiga keseluruhan.

"Oleh yang demikian, semua pengerusi yang telah dilantik perlulah membuat persiapan awal dalam memastikan MAKSAK Perak mencapai sasaran tersebut, tahun ini," katanya dalam Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan MAKSAK Perak 2016 dan 2017.

Teks ucapan tersebut dibacakan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Mohd Gazali Bin Jalal merangkap Timbalan Yang Dipertua (YDP) MAKSAK Perak.

Dalam majlis tersebut, kira-kira RM70,000 diperuntukkan MAKSAK Perak sebagai insentif kepada pasukan yang berjaya menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga dalam Kejohanan MAKSAK 2016 dan 2017.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta semua pengerusi sukan MAKSAK Perak supaya memilih atlet yang berkualiti sekali gus mampu menghasilkan keputusan cemerlang.

"Kita juga tidak mahu unsur-unsur politik pengurusan dan amalan kronisme berlaku semasa proses pemilihan atlet dilakukan," katanya. 

Selain itu, beliau turut berharap kejohanan MAKSAK Malaysia itu digunakan sebaiknya oleh atlet MAKSAK Perak untuk menempa kejayaan sekali gus terpilih mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Kepada atlet-atlet di bawah badan gabungan MAKSAK Perak yang telah pun menyarung jersi kebangsaan, selamat maju jaya diucapkan dan semoga terus konsisten memburu kejayaan," katanya.

MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018

YB Dato' Hj Mohd Gazali Jalal menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan ping pong MAKSAK Perak yang mendapat tempat kedua pada kejohanan MAKSAK Malaysia 2016.

MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018

YB Dato' Hj Mohd Gazali Bin Jalal menyampaikan hadiah kemenangan kepada skuad badminton MAKSAK Perak yang mendapat tempat pertama serta kedua dalam kejohanan MAKSAK Malaysia 2016 dan 2017.  

MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018

YB Dato' Hj Mohd Gazali Bin Jalal menyampaikan hadiah kemenangan skuad Petaque MAKSAK Perak yang mendapat tempat kedua dalam kejohanan MAKSAK 2016 dan 2017.

MAKSAK Perak Sasar Tempat Ketiga Maksak Malaysia 2018

YB Dato' Hj Mohd Gazali Bin Jalal bersama sebahagian atlet MAKSAK Perak yang telah mewakili negeri di Kejohanan MAKSAK Malaysia 2016 dan 2017.

Sumber : Korporat, SUK Perak.