Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018 : 28 Januari 2018

Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

Pihak Al-Ikhsan selaku penaja menyampaikan jersi yang tertera nama Menteri Besar sebagai simbolik majlis pelancaran jersi yang berlangsung.

IPOH, 28 JANUARI 2018 - Perak melancarkan jersi baharu yang menggunakan jenama Al-Ikhsan secara rasmi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini di Bulatan Amanjaya, Meru di sini, malam tadi.

Pelancaran jersi tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir di hadapan kira-kira 5,000 penyokong skuad The Bos Gaurus.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, Setiausaha Kehormat PAFA, Encik Ahmad Shahrul Azhar Bin Sofian dan barisan Exco.

Jersi terbabit didatangkan dalam dua versi warna berbeza iaitu kuning untuk perlawanan di laman sendiri dan merah akan digunakan pada aksi di tempat lawan.

Selain liga super, jersi berkenaan juga akan digunakan oleh skuad Piala Presiden, Piala Belia dan futsal Perak untuk musim ini.

YB Dato’ Seri Abdul Puhat ketika ditemui pada sidang media berkata, Perak telah menggunakan jersi jenama Al-Ikhsan empat tahun berturut-turut sejak 2015.

Beliau berkata, pihak pengurusan PAFA juga amat berpuas hati dengan kualiti yang ada pada jenama berkenaan meskipun ia merupakan produk tempatan.

"Kita boleh pakai Adidas, Nike dan sebagainya tapi bagi saya kualiti yang pada jersi itu sudah cukup baik dan memberi keselesaan pada pemain," katanya.

Mengulas mengenai penajaan pasukan Perak bagi mengharungi kancah liga Malaysia musim ini, beliau berkata, Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI), Movie Animation Park Studios (MAPS) dan Quest International University merupakan antara pihak yang telah menjadi penyumbang kepada perkara tersebut.

"Saya dimaklumkan masih ada pihak swasta yang nak menyumbang kepada pasukan namun disebabkan beberapa masalah ia belum dapat dilaksanakan," katanya.

Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir merupakan tetamu kehormat yang hadir pada majlis pelancaran jersi pasukan bola sepak Perak.

 Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir menunjukkan kemahirannya menimbang bola dalam majlis pelancaran jersi Perak itu.  

Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyarungkan 'arm band' tanda simbolik kepada Kapten Pasukan Perak, Encik Mohamad Nasir Bin Basharuddin.

Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

YAB Menteri Besar Perak bersama skuad Liga Super Perak dalam majlis pelancaran jersi yang berlangsung.

Perak Perkenal Jersi Baharu Musim 2018

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan kelihatan cukup bersemangat dalam majlis pelancaran jersi Perak yang ditaja Al-Ikhsan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.