Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur : 23 Februari 2018

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

Gimik pelancaran majlis pecah tanah projek pengagihan gas asli.

IPOH, 22 FEBRUARI 2018 - Projek sistem pengagihan gas asli di Perak mampu menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan perindustrian negeri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir berkata, Perak agak ketinggalan dari segi perindustrian berbanding negeri lain disebabkan kekurangan kemudahan dan infrastruktur sekali gus pelabur kurang berminat menjalankan kegiatan perindustrian di negeri ini.

“Kita akan dapat melihat perubahan kawasan perindustrian di negeri ini, malah kerajaan negeri juga telah membuat keputusan untuk menyediakan prasarana terkini di kawasan yang sudah dibangunkan kira-kira 30 hingga 40 tahun lepas.

"Inilah (projek sistem pengagihan gas asli) yang sangat kita harapkan dan membantu merancakkan pertumbuhan industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu bagi​​​​​​​ rangkaian paip sepanjang 50 kilometer, di Bandar Meru Raya.

Hadir sama YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Dato’ Seri Ong Ka Chuan dan YBhg Pengerusi Gas Malaysia Berhad Dato’ Hasni Bin Harun.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri juga dapat merangka semula strategi dan dasar berkaitan industri, seiring dengan perubahan dunia industri masa kini.

Sementara itu, YBhg Hasni Bin Harun berkata projek sepanjang 140 kilometer itu yang bermula dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta membabitkan kos RM180 juta.

Beliau berkata, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian paip penyaluran dan pengagihan gas asli bermula dari Ayer Tawar ke Bercham bagi rangkaian utama serta dari Lahat ke Simpang Pulai untuk rangkaian sisian.

“Projek yang bermula sejak akhir 2016 itu telah​​​​​​ ​menyiapkan rangkaian paip sepanjang 31 kilometer​​​, 59 kilometer sedang rancak dibina manakala baki 50 kilometer lagi akan dilaksanakan dan dijangka​​​​​​​ siap sepenuhnya pada suku keempat 2019.

Gas Malaysia membiayai RM120 juta bagi projek itu manakala kerajaan persekutuan memperuntukkan​​​​​​​ RM50 juta dan RM10 juta lagi oleh kerajaan Perak,” kata beliau.

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

YAB Menteri Besar Perak mendengar penerangan daripada wakil GAS Malaysia.

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

YAB Menteri Besar Perak ketika proses menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan negeri dan  Gas Malaysia Berhad.

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir bersama tetamu kehormat yang hadir dalam majlis pecah tanah projek pengagihan gas asli.

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua dalam majlis pecah tanah projek pengagihan gas asli.

Projek Agihan Gas Asli Tarik Ramai Pelabur

Memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Perak dan Gas Malaysia Berhad.

Sumber : Korporat, SUK Perak.