DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 : 20 Jun 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 2019.

IPOH, 20 JUN 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah jemaah Malaysia harus memiliki azam untuk menjadi duta yang mengharumkan nama negara di dalam segala aspek ketika menunaikan ibadah haji.

Baginda bertitah, ia merangkumi aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu dan mengutamakan kebersihan.

Titah baginda, Makkah dan Madinah ialah Tanah Suci, justeru jemaah harus menghindarkan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan dan mengotorkan kedua-dua bandar suci itu sepanjang masa.

“Beta bersyukur mengikuti berita, bahawa selepas musim haji 1439 Hijrah (tahun lalu), pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai urusan haji.

“Jemaah dari Malaysia pada tahun 1439 Hijrah meninggalkan imej yang memberikan identiti dan reputasi yang sangat positif terhadap rakyat Malaysia,” titah baginda ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 di Masjid Sultan Azlan Shah.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Zalim.

Yang turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim, bagi mewakili YAB Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu serta YB Setiausaha Kerajaan negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Baginda bertitah, imej dan identiti positif yang tercipta pada tahun lalu itu jangan dicemarkan, malah wajib dipertingkatkan.

Titah baginda, setiap jemaah perlu mengambil tanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah membantu untuk membersihkan bilik air, tandas, tempat makan dan tempat penginapan setelah digunakan.

Baginda bertitah, budaya mengamalkan kebersihan harus dijadikan sebahagian daripada komponen latihan, diberikan penegasan dan bimbingan secara serius ketika jemaah mengikuti kursus di sini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga meminta jemaah Malaysia mengamalkan sifat persaudaraan yang sejati iaitu dengan memuliakan insan lain, memiliki sifat belas, ihsan dan kasih terhadap mereka yang uzur, lemah dan berusia lanjut

.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bersalaman dengan bakal jemaah haji yang menyertai kursus perdana haji 2019.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 DYMM Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan cenderahati kepada salah seorang bakal jemaah haji yang menyertai kursus tersebut.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyampaikan cenderahati kepada salah seorang bakal jemaah haji yang menyertai kursus perdana haji.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 DYMM Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim beramah mesra dengan bakal jemaah haji wanita yang menyertai kursus tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.