DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berangkat Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Di Dataran Warisan : 31 Ogos 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berangkat Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Di Dataran Warisan

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perak.

TAIPING, 31 OGOS 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perak di Dataran Warisan Taiping.

Keberangkatan baginda juga diiringi DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan isteri, YABhg. Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Binti Dato' Mohammed Radzi; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman; YB Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Ngeh Koo Ham serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Sambutan hari kemerdekaan yang berlangsung itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 rakyat jelata terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan lapisan umur sekitar negeri Perak.

Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 105 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro Taiping yang diiringi Brassband KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang serta lafaz ikrar Hari Kebangsaan.

Selepas itu, tetamu kenamaan dan pengunjung dihiburkan dengan persembahan koir oleh 90 pelajar melalui gabungan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, SMK Kampung Jambu dan SMK Klian Pauh yang menyampaikan tiga buah lagu.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan muzikal puisi Srikandi Gelang Emas Merdeka yang mengetengahkan elemen lakonan, deklamasi sajak dan gerak kreatif bagi mengenang Allahyarhamah Siti Rahmah Binti Kassim iaitu wanita pertama bangkit berjuang untuk kemerdekaan negara.

Pada sambutan hari kemerdekaan tahun ini, seramai 5,500 peserta mewakili lebih 111 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan perbarisan yang diwakili oleh jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.

Turut mengambil bahagian ialah pasukan pancaragam sekolah dan kontinjen kenderaan yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Dalam pada itu, Taiping diperkenan sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi menzahirkan rasa kesyukuran seluruh rakyat jelata atas kejayaan Bandar Warisan Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.

Selain itu, bandar Taiping juga mempunyai faktor signifikannya tersendiri kerana ia merupakan ibu negeri Perak pertama yang dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berangkat Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Di Dataran Warisan Kontinjen kawad Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berjaya mendapat tempat ketiga dalam perbarisan kawad sempena Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perak.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berangkat Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Di Dataran Warisan Orang ramai membanjiri Dataran Warisan Taiping sempena Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.