Kerajaan Jangka Tapak Semaian Buluh Di Lahat Keluarkan 100,000 Anak Benih Buluh Sebulan : 13 Oktober 2019

Kerajaan Jangka Tapak Semaian Buluh Di Lahat Keluarkan 100,000 Anak Benih Buluh Sebulan

YAB Menteri Besar Perak menanam pokok buluh sempena Hari Buluh Sedunia 2019.

IPOH, 13 OKTOBER 2019 - Tapak semaian, makmal tisu kultur serta bangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Lahat dijangka mengeluarkan 100,000 anak benih buluh berkualiti setiap bulan bermula akhir tahun ini.

YB Menteri Industri Utama Puan Teresa Kok berkata, sebanyak lima spesies buluh iaitu Buluh Semantan, Beting, Beti, Betung dan Buluh Hitam yang diluluskan akan ditanam di tapak semaian berkenaan yang ditubuhkan sebagai inisiatif pembangunan industri buluh secara komersial.

"Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu spesies di dalam Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat untuk mengusahakan penanaman buluh daripada lima jenis buluh terbabit," ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Sempena Hari Buluh Sedunia Malaysia 2019 yang diadakan Hotel Casuarina@Meru.

Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu serta YB Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin.

Terdahulu dalam majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong (Pendidikan Khas), SMK Temenggong dan SMK Anderson berjaya memenangi Pertandingan Reka Cipta Kincir Air Berasaskan Buluh Sempena Sambutan World Bamboo Day 2019.

Ketiga-tiga sekolah berkenaan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000.

Beliau berkata, jumlah eksport buluh dan produk berasaskan buluh Malaysia pada tahun lepas adalah RM9.97 juta dan antara pasaran eksport utamanya adalah Jepun RM2.15 juta diikuti Amerika Syarikat RM1.98 juta dan Singapura RM1.17 juta.

“Berdasarkan potensinya yang baik, saya yakin industri berasaskan buluh di negara ini boleh dikembangkan melalui kerjasama kukuh di dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, pembangunan standard serta modal insan melibatkan pelbagai pihak.

"Dengan adanya kolaborasi ini, tidak mustahil Malaysia mampu menghasilkan produk bernilai tambah tinggi berasaskan buluh setanding dengan negara China, Jepun dan Korea dalam bidang-bidang berkaitan seperti industri tekstil dan pembinaan," kata beliau.

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, jumlah taburan tertinggi adalah dari spesies buluh betong yang dianggarkan 4.64 juta rumpun di Perak, yang mana jumlahnya lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Justeru, tegas beliau, ia menunjukkan Perak amat berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai hub pembangunan industri perladangan buluh secara komersial di negara ini.

"Tempat-tempat menarik seperti Masjid Buluh di Kuala Kangsar, Bamboo Jungle Adventures di Sungai Siput dan Sahom Valley Resort di Kampar boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang terbaik dalam mempromosikan buluh sebagai satu sumber bahan yang diguna pakai bagi pelbagai tujuan," kata beliau.

Beliau berkata, pihaknya yakin pembangunan industri buluh dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada masyarakat setempat dan pada masa yang sama menjana sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri.

Kerajaan Jangka Tapak Semaian Buluh Di Lahat Keluarkan 100,000 Anak Benih Buluh Sebulan Antara tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Kerajaan Jangka Tapak Semaian Buluh Di Lahat Keluarkan 100,000 Anak Benih Buluh Sebulan Persembahan semasa Majlis Sambutan Sempena Hari Buluh Sedunia Malaysia 2019.
Kerajaan Jangka Tapak Semaian Buluh Di Lahat Keluarkan 100,000 Anak Benih Buluh Sebulan YAB Menteri Besar Perak mencuba basikal buluh di Sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.