YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017 : 28 April 2017

YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017

Ameen Products Sdn. Bhd menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya.

LUMUT, 28 APRIL 2017 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan perasmian Mini MAHA dan Perak Agrofrest 2017 yang diadakan dari 28 hingga 30 April 2017 bertempat di Markas Armada, Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut.

Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, program Agrofest Perak 2017 ini dilaksanakan secara kolaborasi dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Sambutan Hari Terbuka Armada 2017 dan Mini MAHA.

Turut hadir pada majlis tersebut Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sallehuddin Bin Hussin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata, penganjuran Agrofest Perak buat julung kalinya pada Hari Terbuka Armada di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan satu inisiatif unik secara kolaborasi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri.

Menurut beliau lagi, penganjuran Agrofest Perak 2017 yang diadakan ini, selain memberi manfaat kepada rakyat terutama daripada aspek pertanian ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk mendekati pasukan  TLDM secara lebih dekat.

Pada majlis tersebut juga, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir turut menyempurnakan Penyampaian Anugerah Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Perak Tahun 2017 bagi kategori Peladang Jaya Lelaki, Peladang Jaya Wanita, Penternak Ikan Jaya, Nelayan Jaya, Penternak Jaya Ruminan, Penternak Jaya Bukan Ruminan, Unit Peladang Jaya, Kumpulan Tani Komersial Jaya, Kumpulan Wanita Jaya, Pertubuhan Peladang Jaya, Persatuan Nelayan Jaya, Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya dan Anugerah Pemasar Tani Jaya.

Objektif Program Agrofest Perak 2017 adalah bagi memperluaskan peluang perniagaan dan tahap keusahawanan individu serta organisasi peladang, penternak dan nelayan bagi meningkatkan lagi pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian.

Selain itu, penganjuran program ini juga diharap dapat mengeratkan lagi perpaduan dan kerjasama serta mengukuhkan lagi pergerakan semua organisasi peladang, penternak dan nelayan ke tahap yang lebih dinamik dan berkesan.

YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017

Ikan-ikan segar turut dijual semasa majlis tersebut.

YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017

KPW Kuala Kangsar menerima Anugerah Kumpulan Wanita Jaya.

YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017

Tetuan Mat frozen Holdings Sdn. Bhd. menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya.

YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak melawat pameran yang diadakan sempena Mini MAHA dan Agrofest Perak 2017.
YAB Menteri Besar Perak Sempurnakan Perasmian Mini Maha Dan Agrofest Perak 2017 YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin menyampaikan cenderahati kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.