Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia – YB SUK : 2 Mei 2017

Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK

Pegawai dan kakitangan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bergambar kenangan bersama-sama YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

IPOH, 2 MEI 2017 - Isu-isu yang dihadapi penjawat awam kini kian kritikal dan mencabar. Oleh itu, penjawat awam perlulah menjadi lebih responsif dan sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan dan mereka perlu memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan seiring dengan perubahan – perubahan dalam mendepani era globalisasi.

“Dengan itu, kajian berterusan terhadap proses-proses yang bertujuan untuk penambahbaikan dan mesra pelanggan perlu sentiasa dilaksanakan. Penggunaan modal insan ke tahap optimum pula perlu ditingkatkan menjadi pegangan semua jabatan agar penjawat awam dapat membantu kerajaan negeri menjadi kerajaan yang cemerlang dan disayangi rakyat.

Kita semua perlu berilmu dan memahami dasar-dasar kerajaan supaya kita dapat bergerak seiring dengan pucuk kepimpinan. Terkini, kerajaan telah menetapkan sasaran pembangunan transformasi nasional 2050 (TN50) yang akan dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas bagi tempoh 30 tahun,” kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Nayan ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016, Negeri Perak yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dalam ucapan beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas pimpinan serta cetusan idea YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dalam mentadbir Negeri Perak hingga memperoleh pelbagai pengiktirafan.

“Kita semua amat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang telah berjaya membawa negeri ini ke tahap yang membanggakan.

Program permukiman ke daerah-daerah yang dipelopori oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bermatlamat untuk  merasa denyut nadi rakyat adalah merupakan manifestasi kerajaan agar rakyat tiada tertinggal, tiada terpinggir.

Selain itu, program permukiman juga turut menunjukkan kepentingan untuk turun padang kepada semua agensi kerajaan. Hanya dengan cara sebegini, kita dapat melihat situasi sebenar dan seterusnya menyelesaikan isu-isu berbangkit di kalangan orang awam,”

Menurut YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, penjawat awam di Negeri Perak akan sentiasa memberi kerjasama dan menyokong setiap program menyejahterakan rakyat yang dicetuskan oleh kerajaan negeri.

Di akhir ucapan, YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menggesa semua penjawat awam di Negeri Perak, supaya mengamalkan sikap-sikap integriti, amanah dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berpandukan pendekatan Blue Ocean dan kerjasama strategik antara agensi.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Negeri Perak telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir. Pada majlis tersebut, seramai 112 kakitangan dan pegawai menerima penghargaan sebagai Modal Insan Cemerlang antaranya dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Perbadanan Taman Negeri dan Jabatan Mufti Perak.

Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Puan Rosmahwati Binti Ishak menerima sijil APC 2016 yang disampaikan YAB Menteri Besar Perak.

Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK

Sebahagian daripada 112 penerima APC bagi tahun 2016 bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, En Mohamed Nasser Bin Abdul Razak antara 112 penerima yang menerima APC Tahun 2016.

Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyampaikan sijil APC 2016 kepada En Mohd Noorsyafizal Bin Che Lan@Ahamad dari Pejabat Kewangan Negeri Perak.
Penjawat Awam Perlu Responsif Dan Sentiasa Bersedia –YB SUK Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Puan Nordiana Binti Puaadi turut menerima sijil APC 2016 disampaikan YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Sumber : Korporat, SUK Perak.