DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 : 4 Mei 2017

DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli merasmikan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017.

IPOH, 4 MEI 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 yang disambut di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh.

Keberangkatan tiba baginda diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama dalam majlis ini, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Bin Haji Omar, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Hj. Wan Mohd. Nor Bin Hj. Ibrahim.

Bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamat Negara’ acara kali ini dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum diteruskan dengan perarakan perbarisan seramai 2,100 peserta melibatkan 27 kontinjen antaranya Pasukan HAZMAT dan CBRne, Pasukan Penyelamat Bangunan Tinggi, Bahagian Udara Bomba, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Pengesan (K9), Pasukan Penyelamat Kemalangan Jalan Raya (RTA) , Kelab 3K, Pasukan Bomba Tentera, Bomba Pelabuhan dan Bomba Lapangan Terbang.

Selain perbarisan kontinjen turut diadakan juga perbarisan aset milik pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia melibatkan 90 buah kenderaan termasuk dua unit Form Tender dan satu unit Aerial Ladder Platform Turn Table (ALPT) jenis Scania yang merupakan aset terbaharu sebelum diakhiri dengan lintas hormat dua pesawat udara bomba jenis Agusta Westland AW139 dan satu pesawat MI17.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Kawalan Kehormatan dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017

Persembahan khas kebombaan dari pasukan STORM di Maljis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017

Lintas homat pesawat udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sempena Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 di Dewan Bandaran Ipoh.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017

DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli beramah mesra dan bersalaman kanak-kanak cilik yang memakai pakaian seragam bomba sempena Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017.
DYMM Sultan Perak Rasmi Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak bersama-sama dif-dif kehormat berkenan mencemar duli bergambar selepas berakhir Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017.

Sumber : Korporat, SUK Perak.