Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1 : 20 Mei 2017

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyampaikan piala kepada pasukan ragbi Malaysia yang muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1.

IPOH, 20 MEI 2017 - Skuad Ragbi Malaysia mencipta sejarah apabila layak ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 Jepun selepas menundukkan Sri Lanka 22-9 di Padang Ipoh bagi merangkul kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 2017.

Dengan kejayaan itu, skuad negara meraih RM100,000 sebagai ganjaran daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kerana berjaya mempertahankan gelaran berkenaan.

Terdahulu sebelum bertemu Sri Lanka, pasukan  Malaysia telah berjaya mencatat 2 kemenangan setelah menewaskan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 36 berbalas 22 dan membelasah pasukan Filipina dengan jaringan 40-8.

Pada perlawanan akhir beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong, Malaysia bermula garang dan berjaya mendahului 5-0 menerusi try Nasalo Jone Mawara selepas tiga minit saingan berlangsung.

Namun beberapa kesilapan membawa padah kepada anak buah Lee Nyuk Fah, apabila pelawat dihadiahkan dua penalti yang disempurnakan oleh Gurukandure Gedara Thilina Wijesinghe menjadikan keputusan 5-6 sehingga tamat babak pertama.

Gedara berjaya menambah tiga lagi mata menerusi sepakan penalti untuk Sri Lanka mendahului 9-5. Malaysia menggandakan usaha dan usaha mereka berhasil apabila kubu Sri Lanka roboh dalam baki 15 minit perlawanan bagi membolehkan Malaysia mengumpul mata berbalas 22-9 pada akhir perlawanan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli ke Padang Ipoh bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir menyaksikan perlawan akhir tersebut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, YB Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahya.

Sementara itu, Filipina menduduki tempat ketiga selepas menundukkan UAE 34-26.

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

DYMM Sultan Perak berkenan mencemar duli bergambar bersama pasukan Malaysia selaku Johan Ragbi Asia Divisyen 1.

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

DYMM Sultan Perak mencemar duli mengalungkan pingat kepada pemain Malaysia.

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

Pemain Malaysia, Jone Mawara Nasalo yang cuba meloloskan diri daripada kawalan pemain lawan.

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan hadiah kepada pasukan Sri Lanka yang muncul selaku naib johan kejohanan.

Malaysia Juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan mengalungkan pingat kepada pemain UAE yang berada di tempat ketiga.

Sumber : Korporat, SUK Perak.