285 Penerima Pingat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak : 1 November 2018
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja menunjukkan buku Program Rasmi Hari Keputeraan kepada para media semasa sidang media Hari Keputeraan.
IPOH, 1 NOVEMBER 2018 - YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu merupakan antara dua penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri sempena sambutan ulang tahun keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ke-62, tahun ini.
Selain YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, seorang lagi penerima darjah SPMP adalah Pro Canselor Universiti Malaya YABhg Toh Puan Dato' Seri Hajjah Dr. Aishah Ong.
YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin berkata semasa Sidang Akhbar Hari Keputeraan, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak akan diadakan dalam dua sesi iaitu pada 4 November dan 10 November ini.
Katanya kedua-dua istiadat yang melibatkan seramai 285 penerima akan disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, seramai 14 individu menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Naib Canselor Unversiti Pendidikan Sultan Idris YBhg Prof. Dato Dr Mohammad Shatar Bin Sabran dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri YM Dato' Raja Nurshirwan Bin Zainal Abidin.
Beliau berkata, baginda turut menganugerahkan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato' kepada dua penerima iaitu Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuteraan Pertahanan Brig Jen Ir Chapiti Redzwan dan Ketua Cawangan Khas Maktab Polis DiRaja Malaysia YDH SAC Sum Chang Keong.
Selain itu, seramai enam penerima akan menerima Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 15 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dan 65 menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).
Manakala 72 penerima akan menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 82 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Menurut beliau, ke semua yang menerima darjah dan pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ke-62 ini, merupakan individu yang telah berjasa kepada negara dan negeri termasuk dalam bidang profesional serta sukan.
Kata beliau, pada sambutan kali ini, buat pertama kalinya sejak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditabal sebagai DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 2015 pertunjukan bunga api selama 10 minit akan diadakan di perkarangan Istana Iskandariah pada 3 November ini bermula dari pukul 7.50 hingga 8 malam.
Selain itu, beliau berkata, rakyat juga diseru untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman.
"Untuk menambahkan suasana meriah dan keceriaan bangunan pejabat dan perniagaan dianjurkan memasang lampu pada malam 2 Nov dan 3 Nov hingga 12 tengah malam, kata beliau semasa Sidang Akhbar Hari Keputeraan semalam.
Jen. Dato Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin semasa Sidang Media Hari Keputeraan. | |
YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja beramah mesra bersama jurufoto yang hadir. | |
Jen. Dato Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin beramah mesra dengan para media yang hadir. | |
Antara para media yang hadir di sidang media tersebut. |
Sumber : Korporat, SUK Perak.