Sabtu, 21 April 2018
 
  • Kemaskini Terakhir:20 April 2018
 
lain

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan menerima dokumen penyerahan projek naiktaraf stadium daripada pemaju yang terlibat.

IPOH, 10 APRIL 2018 - Kerajaan negeri bercadang mewartakan Stadium Perak sebagai zon larangan merokok berkuat kuasa mulai aksi kedua Shopee Piala FA membabitkan pertemuan antara Perak dan PKNS FC, 21 April depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan selepas mengambil kira faktor keselesaan dan kesihatan penyokong yang terdiri daripada pelbagai golongan. 

Menurut beliau, arahan penguatkuasaan larangan itu turut akan diperluaskan kepada semua aktiviti yang akan dilangsungkan di Stadium Perak. 

"Idea ini asalnya adalah cetusan daripada segelintir peminat bola sepak Perak sendiri yang mahu melihat perubahan berlaku bukan hanya membabitkan kerja-kerja pembangunan. 

"Selepas mengambil kira faktor kanak-kanak dan wanita yang turut menonton perlawanan, kita rasa akan ada gangguan (asap rokok). Oleh itu, untuk memberi keselesaan kepada semua kita akan guna pakai zon larangan merokok ini," ujar beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Menaik taraf Trek Larian dan Pemasangan Kerusi Stadium Perak, di Stadium Perak.

Projek menaik taraf kedua-dua kemudahan berkenaan menelan belanja sekitar RM18.5 juta selain telah siap sepenuhnya sebelum 30 Mac lalu. 

Beliau berkata, proses penguatkuasaan arahan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kesihatan Negeri. 

YB Dato’ Seri Abdul Puhat yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA berkata, pihaknya juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung masalah vandalisme membabitkan kemudahan dalam stadium. 

"Kita mungkin pasang dalam masa terdekat bagi membolehkan kita memantau sebarang kejadian tidak diingini yang ditimbulkan terutama membabitkan hal vandalisme," kata beliau. 

Selain itu, beliau berkata, pihaknya berharap semua pihak dapat menjaga kemudahan-kemudahan yang telah di naik taraf itu dengan baik.

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Setiausaha Kerajaan Negeri menyerahkan dokumen penyelenggaraan stadium kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato' Zamri Bin Man.

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan memeriksa trek larian yang telah dinaiktaraf.

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Setiausaha Kerajaan Negeri menerima dokumen penyerahan Stadium Perak yang dinaiktaraf kontraktor terlibat.

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Setiausaha Kerajaan Negeri memeriksa keadaan rumput di Stadium Perak.

Stadium Perak Bakal Diwarta Zon Larangan Merokok

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika melakukan lawatan ke Stadium Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.