Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

YAB Perdana Menteri Puji Usaha MK Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus : 6 Julai 2018

YAB Perdana Menteri Puji Usaha Mk Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus

Perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh wakil daripada Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Orang Utan bagi memastikan pemuliharaan terhadap hidupan liar terus diberikan perhatian.

BUKIT MERAH, 6 JULAI 2018 - YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad menegaskan usaha dan keprihatinan MK Land dalam memelihara dan menternak haiwan menerusi beberapa program kerjasama dengan tiga yayasan merupakan antara usaha dalam memastikan haiwan-haiwan tidak pupus dalam persekitaran.

Beliau berkata, Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah yang bernaung di bawah syarikat pembangunan hartanah terkemuka itu menunjukkan contoh terbaik sebagai entiti perniagaan yang berjaya memberi semula sebahagian keuntungannya kepada masyarakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kurniaan tuhan ini iaitu binatang-binatang yang pada satu masa berada di merata-merata tempat tetapi kerana manusia kadang-kadang begitu ganas membunuh binatang sehingga hilang beberapa spesies dalam dunia ini.

Inilah yang dilakukan oleh MK Land dan saya ucapkan tahniah kepada mereka,” katanya kepada sidang media selepas majlis menandatangani MoU Persahabatan dan Kerjasama, Promosi Persefahaman Bersama, Akademik, Budaya dan Pemikiran Saintifik dan Pertukaran Kakitangan dan Upacara Majlis Penyerahan Pemulangan Orang Utan secara Simbolik kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan YPOUBM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mempromosikan kerjasama akademik bertaraf antarabangsa.

MoU berkenaan ditandatangani oleh YBhg Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Bin Said bersama YBhg Ketua Pegawai Eksekutif ketiga-tiga yayasan iaitu Hajah Zainon Binti Kasim, Dato’ Dr Abdul Rashid Bin Malik dan Dr D Sabapathy.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri YAB Tun Siti Hasmah Binti Mohd Ali, YB Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin, YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Bin Mahathir, YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, serta YBhg Pengerusi dan Penasihat Yayasan, Tan Sri Mustapha Kamal Bin Abu Bakar.

Dalam pada itu, lebih 20,000 masyarakat terdiri daripada rakyat negeri telah membanjiri taman tema, Bukit Merah Laketown Resort yang dibuka secara percuma dari jam 3 petang hingga 9 malam.

Kira-kira 100 khemah disediakan di taman tema itu, yang turut menyediakan lebih 30 jenis juadah untuk dinikmati oleh rakyat berbagai kaum dan agama.

Selain menikmati pelbagai juadah, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan hiburan daripada beberapa artis popular tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Zamani Slam, Amalina dan persembahan kebudayaan Kumpulan Selendang Perak.

YAB Perdana Menteri Puji Usaha Mk Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus

YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad tekun mendengar penerangan yang diberikan oleh wakil daripada Yayasan Emkay sempena majlis berkenaan.

YAB Perdana Menteri Puji Usaha Mk Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus

Orang awam tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan YAB Perdana Menteri dalam majlis tersebut.

YAB Perdana Menteri Puji Usaha Mk Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus

Antara tetamu kehormat yang hadir semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman.

YAB Perdana Menteri Puji Usaha Mk Land Selamatkan Haiwan Daripada Pupus

YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan dihadapan orang awam yang menghadiri majlis berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.