Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong : 5 Julai 2018

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan gimik perasmian SMK Bawong.

SUNGAI SIPUT, 5 JULAI 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, iaitu satu-satunya sekolah menengah harian berasrama pertama dibina di Malaysia untuk masyarakat Orang Asli.

Ketibaan baginda diiringi, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta DYAM Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'azam Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Bin Malik; dan YBhg Pengarah Pendidikan Perak, Dato’ Haji Mat Lazim Bin Idris.

Sekolah yang dibina pada 2013 dengan kos hampir RM27 juta itu merupakan hasil sinergi padu antara Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya untuk kemajuan masyarakat Orang Asli dalam pendidikan.

Beroperasi sepenuhnya pada September 2016, sekolah seluas kira-kira enam hektar di Sungai Siput Utara, dalam daerah Kuala Kangsar itu telah dilengkapi capaian Internet berkelajuan tinggi serta kemudahan lain antaranya makmal sains, makmal komputer, makmal bahasa dan bengkel.

Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan berkata, pembinaan SMK Bawong membawa sumbangan bermakna dalam usaha meningkatkan kemajuan pendidikan dan menjadi pemangkin dalam merancakkan pembangunan luar bandar.

Menurut beliau, dengan keadaan itu akan memberi kesan langsung ke arah peningkatan kualiti hidup masyarakat di kawasan itu.

"Istimewanya sekolah ini apabila menempatkan 100 peratus pelajar Orang Asli.

"Sehubungan itu, kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah ini penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga terbilang dari segi sahsiah dan peribadi," ujar beliau.

Sesi awal persekolahan, SMK Bawong yang diterajui Encik Anuar Bin Mamat selaku pengetua mempunyai 15 guru dan 219  pelajar Tingkatan 1 dan 2.

Kini, dengan kemudahan 20 bilik darjah, sekolah berkenaan mempunyai 375 pelajar termasuk 40 kategori murid pendidikan khas dengan 36 tenaga pengajar.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong

YAB Menteri Besar Perak beramah mesra dengan salah seorang pelajar SMK Bawong sambil diperhatikan oleh Tunku Zara Salim.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Tunku Zara Salim ketika tiba di SMK Bawong.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak perasmian SMK Bawong.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi SMK Bawong

Bangunan SMK Bawong yang telah mula beroperasi sepenuhnya pada September 2016.

Sumber : Korporat, SUK Perak.