MAKSAK Berjaya Pupuk Budaya Sukan Penjawat Awam : 14 Julai 2018
Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa menyampaikan hadiah kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal selaku wakil MAKSAK Perak yang menduduki tangga kelima keseluruhan.
PUTRAJAYA, 14 JULAI 2018 - Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) perlu meneruskan penganjuran program sukan, sosial dan kebajikan yang terbukti berkesan dalam membudayakan sukan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
YBhg Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa berkata, sejak ditubuhkan pada 1956, aktiviti dilaksanakan Maksak berjaya membentuk anggota perkhidmatan awam yang cergas, aktif, berdisiplin, komited dan mempunyai daya saing tinggi dalam mendepani setiap cabaran.
"Selain membantu perkembangan sukan negara, Maksak juga menjadi platform menyatukan dan merapatkan anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai lapisan di seluruh pelosok negara.
"Selaras dengan prinsip memperkasa perkhidmatan awam, saya berharap usaha dilaksanakan Maksak akan berterusan malah kekal gemilang dalam memenuhi objektif ditetapkan," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Maksak Malaysia 2017.
Majlis yang menjadi acara tahunan sejak 1990 itu diadakan bagi mengiktiraf komitmen 18 badan gabungan Maksak yang menyertai program-program Maksak sepanjang tahun lepas.
Ia juga bagi meraikan kejayaan anggota Maksak yang mengharumkan nama perkhidmatan awam negara di kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tan Sri Ali Bin Hamsa yang juga Yang Dipertua Maksak turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan-kerajaan negeri atas bantuan dan sokongan berterusan diberikan kepada majlis itu sehingga berjaya melaksanakan setiap program yang dirancang.
Beliau berharap kerjasama dan dukungan serupa dapat terus diberikan sama ada dari segi kewangan atau sokongan moral kepada badan gabungan untuk menjayakan aktiviti dan program Maksak di peringkat negeri.
Beliau turut memuji sumbangan atlet perkhidmatan awam yang mengambil bahagian dan menyumbang pingat kepada negara pada Sukan SEA, malah turut memecah beberapa rekod dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua atlet perkhidmatan awam untuk meneruskan kecemerlangan dalam sukan yang diceburi serta menjadi suri teladan kepada penjawat awam lain,†ujar beliau.
Pada majlis itu, pemenang pingat emas Sukan SEA acara baling tukul besi Jackie Wong Siew Cheer dan penyumbang dua pingat perak di temasya sama Zaidatul Husniah Zulkifli di nobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Maksak 2017.
Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa bersama pemenang Anugerah Khas Wanita 2017, Sin Li Jane dan pemenang Olahrawan MAKSAK 2017, Jackie Wong Siew Cheer. | |
Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa menyampaikan piala pusingan kepada Sin Li Jane yang memenangi Anugerah Khas Wanita 2017 dalam majlis tersebut. | |
YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal bersama para atlet dan pegawai MAKSAK Perak. | |
Setiausaha MAKSAK Perak, Encik Faiz Bin Mohd Saad antara pegawai yang menerima cenderahati dalam majlis berkenaan. | |
Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa beramah mesra dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal dalam majlis tersebut. |
Sumber : Korporat, SUK Perak.