Khamis, 16 Ogos 2018
 
  • Kemaskini Terakhir:16 Ogos 2018
 
lain

Sultan Nazrin Shah Rasmi Persidangan Dun Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak membacakan  titah ucapan perasmian Sidang DUN Perak.

IPOH, 06 OGOS 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 hari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut Yang Di Pertua Dewan Speaker DUN, Dato’ Ngeh Koo Ham.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Haji Gazali Bin Jalal.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak dengan iringan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Kedah dipimpin Inspektor Tuan Mohd. Noor Effendi Bin Mohd. Yusuf dan dibantu oleh Sarjan Mejar Abdul Rashid Bin Abdullah.

Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Kem Ulu Kinta yang diketuai Deputi Superintenden Tuan Muhamad Nazri Bin Ramlee.

Selesai istiadat berkenaan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak diiringi ke Bilik Diraja sebelum menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung selama enam hari bermula 6 Ogos hingga 13 Ogos ini.

Sementara itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama di negeri ini.

Titah baginda, satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentang untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak ke-14.

Baginda bertitah, di dalam struktur Mahkamah Syariah pada masa ini, hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Mahkamah Syariah adalah salah satu komponen di dalam urusan pentadbiran agama Islam. Pada ketika ini, terdapat tiga lapisan Mahkamah Syariah, iaitu, Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah,” titah baginda di istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke- 14 pada Isnin.

Sultan Nazrin Shah Rasmi Persidangan Dun Perak

Suasana semasa berlangsungnya Istiadat Perasmian Sidang DUN Perak ke 14.

Sultan Nazrin Shah Rasmi Persidangan Dun Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan tabik hormat dalam kawalan kehormatan semasa Istiadat Perasmian Sidang DUN Perak.

Sultan Nazrin Shah Rasmi Persidangan Dun Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak memberi tabik hormat kepada kawalan kehormat.

Sultan Nazrin Shah Rasmi Persidangan Dun Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak bergambar bersama ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.