Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta : 7 Ogos 2018

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal menandatangani buku IBR dan disaksikan Dato' Shamsun Baharin Mohd Jamil.

IPOH, 07 OGOS 2018 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pegawai pentadbiran kerajaan negeri wajib mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh 3 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Dato’ Shamsun Baharin Bin Mohd Jamil, berkata penambahbaikan ke atas pengisytiharan harta itu dibuat melalui persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

“JKKMAR mengadakan mesyuarat setiap bulan dan ada beberapa perkara sudah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan dan satu daripadanya JKKMAR bersetuju supaya pengisytiharan harta membabitkan anggota Kabinet, pegawai pentadbiran dan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas mereka mengangkat sumpah.

“Dulu, ia hanya dibuat di peringkat Pusat dan (salinan pengisytiharan harta) hanya diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, manakala di peringkat negeri diserahkan kepada YAB Menteri Besar, tetapi dengan persetujuan sekarang semua pengisytiharan harta yang dibuat anggota pentadbiran kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan akan diserahkan salinannya kepada SPRM.

“Kerajaan juga bersetuju bahawa pengisytiharan harta itu juga akan dimuat naik melalui laman portal SPRM,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi ADUN dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri di Dewan Bankuet Bangunan Darul Ridzuan.

Majlis lafaz IBR itu diketuai YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.

Yang turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mohd Gazali Bin Jalal.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah Nasional yang akan digubal kelak.

YBhg. Dato’ Shamsun Baharin berkata, SPRM juga sudah mengemukakan syor kepada JKKMAR mengenai pengisytiharan penerimaan hadiah oleh anggota pentadbiran PH bagi menggalakkan penerapan tadbir urus yang telus, berintegriti dan profesional di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berkata, negeri Perak adalah negeri kedua selepas Melaka melaksanakan IBR dan pujian harus diberikan kepada barisan kepemimpinan pentadbiran kerajaan negeri kerana menyahut seruan dan usaha pencegahan rasuah kerajaan Persekutuan kerana menyatakan komitmen mereka dalam memperkasakan tadbir urus negeri dan memupuk budaya integriti.

Sementara itu, YAB Menteri Besar berkata, IBR Ketua Jabatan Badan Berkanun Kerajaan Negeri itu adalah satu titik permulaan kepada kerajaan negeri Perak mewujudkan kerajaan yang lebih telus.

Beliau berkata, selepas melaksanakan IBR, kerajaan negeri juga akan mewajibkan semua pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

“Setakat ini pengisytiharan harta oleh Ahli Exco kerajaan negeri sudah pun dilaksanakan dan ia sudah diserahkan kepada saya.

“Maklumat berkenaan juga akan dipanjangkan untuk dilaksanakan kepada semua pentadbiran syarikat milik kerajaan atau berkaitan kerajaan dan ia juga sudah saya arahkan untuk dilaksanakan serta merta,” kata beliau.

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu mengetuai lafaz IBR.

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

YAB Menteri Besar bersama semua ahli MMK, ADUN dan Pegawai Kerajaan yang terbabit dalam majlis bacaan IBR.

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyerahkan buku IBR yang ditandatangani kepada Dato' Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

Pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  turut melafazkan IBR dalam majlis tersebut.

Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Wajib Isytihar Harta

 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai pentadbiran kerajaan ketika melafazkan IBR.

Sumber : Korporat, SUK Perak.