Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja : 11 Ogos 2018

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan piala kepada Pemidato SMK Proton City daerah Muallim, Muhammad Irfan Bin Hamzah
menjadi Johan Kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Melayu. 

IPOH, 11 OGOS 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyaksikan Pertandingan Akhir Pidato Diraja sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Tahun 2018 di Auditorium Perak FM.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Haji Gazali Bin Jalal dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan Negeri, Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak oleh kumpulan koir disusuli bacaan ayat suci al-Quran oleh Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018 dari Sekolah Menengah Izzuddin Shah, Cik Hasnul Taqiuddin Bin Cik Sazali.

Baginda turut menyaksikan enam peserta berpidato dalam pertandingan akhir untuk peringkat menengah atas yang dijalankan serentak bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Selain pidato, program tahunan bagi menyemai semangat “Kesetiaan Kepada Raja” itu turut meliputi pertandingan menulis esei, mencipta puisi, melukis karikatur dan melukis poster.

Penganjuran pertandingan secara tahunan yang terbuka kepada semua pelajar itu bertujuan menimbulkan kefahaman secara menyeluruh mengenai peranan institusi diraja di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemidato dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Teluk Intan, C. Gaiyethry muncul juara bagi kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Inggeris manakala Pemidato SMK Proton City, Muhammad Irfan Bin Hamzah pula diumumkan sebagai Johan Kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Melayu.

DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori.

Para pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai RM750, piala dan sijil penyertaan, tempat kedua wang tunai RM600, piala dan sijil dan tempat ketiga wang tunai RM500, piala dan sijil.

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama para peserta Pertandingan Akhir Pidato Diraja sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Tahun 2018.

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

Antara peserta yang memenangi pertandingan akhir pidato berkenaan.

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tunku Zara Salim melihat lukisan poster yang turut dipertandingkan dalam pertandingan akhir pidato berkenaan.

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan piala kepada pemidato dari SMK Convent Teluk Intan Daerah Hilir Perak, C. Gaiyethry yang muncul juara kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Inggeris.

Sultan Nazrin Shah Hadiri Pertandingan Akhir Pidato Diraja

Pemidato SMK Proton City daerah Muallim, Muhammad Irfan Bin Hamzah sedang menyampaikan pidato bagi kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Melayu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.