Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 : 11 September 2018

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018

Kontinjen Perak yang menyertai perasmian SUKMA XIX Perak 2018 yang berlangsung di Stadium Perak.  

IPOH, 11 SEPTEMBER 2018 - Temasya sukan berprestij negara, Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 membuka tirai secara rasmi dengan penuh gilang gemilang di Stadium Perak.

Perasmian kejohanan dwi-tahunan itu disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan lafaz perasmian disusuli gimik nyalaan obor berbentuk keris serta letusan bunga api di luar dan dalam stadium.

Hujan renyai sebelum majlis bermula bagaimanapun tidak menghalang lebih 30,000 penonton hadir ke stadium seawal jam 6 petang bagi menyaksikan temasya bersejarah itu.

Turut berangkat pada majlis yang diserikan dengan persembahan pembukaan Indera Sakti membabitkan 700 peserta itu adalah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan YB Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman.

Pembukaan rasmi persis temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 yang menggunakan teknologi sama pada dua temasya sukan berkenaan terdahulu dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri.

Lintas hormat itu dijayakan 7,464 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen dengan didahului kontinjen Sarawak yang juga tuan rumah SUKMA Ke-18 dua tahun lalu.

Selaku tuan rumah, Perak menghantar kontinjen terbesar dengan 587 atlet diikuti Sarawak (553), Selangor (543), Terengganu (542), Wilayah Persekutuan (532), Johor (495), Pulau Pinang (483), Kedah (464), Pahang (440), Sabah (416), Negeri Sembilan (411), Melaka (376), Kelantan (288), Perlis (280) dan Brunei (34).

Pada majlis itu, lagu tema rasmi SUKMA kali ini berjudul ‘Wow! Kita The Greatest’ yang digubah komposer muzik terkenal negara, Dato’ Wah Bin Idris serta lirik juga oleh beliau sendiri bersama Reyza Bin Hamizan turut diperdengarkan.

SUKMA Perak 2018 adalah penganjuran kali kedua tuan rumah sejak menganjurkannya pertama kali pada 1994.

Temasya yang berlangsung 12 hingga 22 September ini akan menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018

Chef De Mission SUKMA Perak, Loo Kum Zee mengetuai larian obor yang turut disetai bekas atlet negeri dan kebangsaan pada perasmian temasya SUKMA XIX Perak 2018.

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018

Atlet negeri Perak yang mewakili negara dalam Kejohanan South East Asia Shooting Championship 2017, Ahmad Khusyairi Bin Abdul Razak  melafazkan ikrar dalam perasmian SUKMA XIX Perak 2018.

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meletakkan keris sebagai gimik perasmian temasya SUKMA XIX Perak 2018.

Pembukaan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menyampaikan lafaz perasmian pada temasya SUKMA XIX Perak 2018 di Stadium Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.