Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA : 28 November 2018

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

Kontinjen Perak berjaya merangkul Piala Gerakan Pembangunan Sukan Para SUKMA pada edisi kali ini.

IPOH, 28 NOVEMBER 2018 - Kerajaan negeri menjelaskan atlet Para SUKMA adalah hero luar biasa dalam realiti kehidupan dan masyarakat seharusnya mengambil iktibar daripada semangat selain kesungguhan yang ditonjolkan mereka.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata masyarakat perlu belajar daripada semangat enggan menyerah kalah atlet Para SUKMA bukan sahaja melibatkan acara sukan tetapi juga dalam kehidupan seharian.

“Kita mesti akui, mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya. Moga-moga, ini akan menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak sesekali mengalah dengan cabaran dalam kehidupan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Para SUKMA Perak 2018 di Stadium Indera Mulia yang turut dihadiri YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Encik Steven Sim Chee Keong.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, temasya Para SUKMA sebagai medan yang disediakan oleh kerajaan bagi memberi ruang kepada bakat muda daripada golongan istimewa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Kalah dan menang adalah adat permainan. Lebih penting yang saya mahu tekankan di sini adalah komitmen semua atlet istimewa kita kerana telah memberikan yang terbaik sepanjang temasya ini berlangsung.

Sesungguhnya, semangat dan iltizam anda dalam membuat persiapan untuk sampai ke sini dan mengambil bahagian dalam temasya Para SUKMA edisi ke-19 ini telah meletakkan anda sebagai wirawan dan wirawati sebenar,” kata beliau.

YAB Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada dua atlet para yang telah berjaya memecahkan rekod kejohanan iaitu Nur Suraya Binti Muhammad Zamri dalam acara lompat jauh manakala Amirul Bin Sharuddin melalui acara lontar peluru dan merejam lembing.

Majlis penutupan itu turut diserikan dengan perarakan 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian selain pelbagai persembahan kebudayaan dan persembahan artis jemputan.

Pada majlis itu, atlet olahraga dari Sabah, Jaklon Anak Ganding dan atlet catur negeri Sembilan, Nur Feiqha Maulad Binti Mohd Halil, masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Para SUKMA, pada kali ini.

Kontinjen Sarawak dinobatkan juara keseluruhan Para SUKMA buat kali ke-13 berturut-turut selepas berjaya mengumpul 61 pingat emas, 62 perak dan 60 gangsa manakala naib juara dimiliki kontinjen Sabah dengan pungutan 36 pingat emas, 28 perak dan 30 gangsa.

Tuan rumah Perak pula menduduki tempat ketiga dengan pungutan 29 pingat emas, 33 perak dan 22 gangsa.

Temasya kali ini yang berlangsung selama lima hari mulai 24 November menyaksikan penyertaan 2,046 atlet, pegawai, pengurus dan jurulatih daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Sebanyak 10 sukan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, ping-pong, powerlifting, tenpin boling dan boling padang membabitkan sembilan venue sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap dalam majlis penutup berkenaan.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan Piala Jaguh Negeri kepada Sarawak kerana memperolehi kutipan pingat emas terbanyak pada edisi Para SUKMA Perak 2018.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

Kontinjen Sarawak merangkul Piala Semangat Paralimpik selepas dinobatkan selaku juara keseluruhan Para SUKMA Perak 2018.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyerahkan bendera kejohanan kepada wakil Kerajaan Negeri Johor yang bakal menjadi penganjur Para SUKMA 2020.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

Perarakan kontinjen Para SUKMA Perak ke Majlis Penutup Para SUKMA yang berlangsung.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama atlet Sabah, Jaklon Anak Ganding.

Masyarakat Perlu Contohi Kesungguhan Atlet PARA SUKMA

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan trofi atlet wanita terbaik kepada atlet Negeri Sembilan, Nur Feiqha Maulad Binti Mohd Halil.

Sumber : Korporat, SUK Perak.