Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan : 18 Disember 2018

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun ketika melakukan gimik perasmian pada Program Desa Harapan yang bakal berlangsung di Kampung Kinjang.

TAPAH, 18 DISEMBER 2018 - Kampung Kinjang, Chenderiang di sini dipilih sebagai lokasi projek perintis bagi Program Desa Harapan yang bertujuan membangunkan kampung serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar secara holistik dan inovatif.

YB Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Rina Binti Mohd Harun berkata, program baharu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu sebagai langkah mempercepatkan pembangunan luar bandar melalui kerjasama strategik sektor kerajaan, swasta dan korporat.

Beliau, melalui program tersebut, syarikat swasta yang selama ini melaksanakan projek program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara bersendirian terutamanya di kawasan kampung dapat diselaraskan bersama-sama dengan KPLB supaya penduduk berupaya menjana pendapatan mereka menerusi program yang bersesuaian.

“Sekiranya kawasan kampung menjadi tempat yang mempunyai sumber pendapatan yang berterusan, penduduk kampung terutamanya golongan belia tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Ini seterusnya membolehkan proses kemajuan kampung dilaksanakan sendiri oleh penduduk kampung tersebut,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran program tersebut yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan YBhg Ketua Setiausaha KPLB Dato’ Dr Ahmad Jailani Bin Muhamed Yunus.

Menurut beliau, terdapat 25 syarikat swasta yang telah menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan strategik KPLB dalam pelaksanaan program itu dan berharap lebih banyak syarikat lain mahu bekerjasama.

Tambah beliau, empat daripada syarikat swasta yang terlibat dalam program itu ialah Berjaya Corporation Berhad, Celcom Axiata, Hume Cemboard Industries dan Universiti Kuala Lumpur.

Beliau berkata program itu direka khas khusus untuk menyediakan kepelbagaian bentuk sokongan dan bantuan berdasarkan kepada keperluan kampung mengikut kepakaran syarikat swasta yang terlibat.

Beliau berkata, sebagai contoh seperti pembinaan atau baik pulih bangunan seperti balai raya, dewan serbaguna dan Tabika boleh dilaksanakan selain syarikat berkaitan berkongsi ilmu serta pengalaman mengenai keusahawan termasuk perniagaan atas talian kepada belia.

Mengulas lanjut, ujar beliau,  Kampung Kinjang antara 17,000 kampung di seluruh negara yang dipilih sebagai projek perintis kerana mempunyai potensi untuk dimajukan dari sudut sosio ekonomi yang mana kedudukannya hampir dengan lokasi air terjun Lata Kinjang, yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

“Dengan kekuatan kedudukan Kampung Kinjang yang begitu hampir dengan air terjun Lata Kinjang, penduduk Kampung boleh menjadikan tarikan ini sebagai peluang bagi mereka meningkatkan pendapatan dengan mensasarkan pelancong sebagai klien utama mereka.

“Saya difahamkan bahawa kumpulan penduduk (kampung kinjang) berumur 40 tahun dan ke atas merupakan kumpulan penduduk yang paling ramai mendiami kawasan kampung ini iaitu golongan belia 17 peratus manakala golongan yang tidak bekerja dan tiada maklumat pekerjaan kira-kira 27 peratus, satu jumlah yang saya rasakan agak tinggi,” kata beliau.

Beliau berkata pada peringkat awal pelaksanaan Program Desa Harapan, bilangan kampung yang disasarkan adalah satu kampung bagi setiap negeri untuk tempoh dua tahun iaitu 2019 hingga 2020 dan dijangka akan terus bertambah berdasarkan kejayaan dan komitmen syarikat swasta serta korporat yang akan terlibat nanti.

“Kita mahukan program yang dilaksanakan bukan syok sendiri, kita kena buat kajian tentang keberkesanan program ini dan bagaimana untuk menambah baik agar ia dapat diteruskan...mungkin selepas ini kita akan laksanakannya (program) di daerah-daerah,” ujar beliau.

Tambah beliau, program berkenaan selepas ini akak dilaksanakan di Kedah, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun ketika hadir pada Program Desa Harapan yang bakal dijalankan di Kampung Kinjang, Chenderiang.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun ketika melakukan lawatan ke tapak pameran dalam Program Desa Harapan.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil PR1MA yang terlibat dalam projek berkenaan.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun beramah mesra dengan para tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Berjaya Corporation Berhad yang terlibat dalam Projek Desa Harapan.

Kampung Kinjang Perintis Program Desa Harapan

YB Dato' Seri Rina Binti Mohd Harun ketika ditemui media pada sidang media selepas program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.