Kerajaan Negeri Berhasrat Lancar Kemudahan Teknologi 5G Di Meru Raya

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim ketika merasmikan Portal Digital Perak.

IPOH, 6 MAC 2019 - Kerajaan Negeri berhasrat melancarkan kemudahan teknologi 5G di Bandar Meru Raya dalam tempoh tiga ke empat bulan akan datang sekali gus menjadi antara negeri terawal yang bakal menyediakan perkhidmatan itu kepada rakyat.

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim berkata, ketika ini, perkara itu masih berada di peringkat cadangan dan pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi (telko) termasuk rakan kongsi.

Beliau berkata, perbincangan awal bagaimanapun telah pun dimulakan bersama syarikat telko dan ia bakal disusuli dengan lawatan tapak ke kawasan berkenaan.

“Perkara ini sangat penting kerana saya difahamkan kemudahan teknologi 5G ini telah dimulakan di Putrajaya.

“Mungkin di Perak, saya akan lancarkan dahulu di kawasan Meru Raya dalam tempoh tiga ke empat bulan akan datang,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran portal Perak Digital, sistem permohonan dana NGO atas talian serta Kursus Teknologi Maklumat (ICT) Rakyat di Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Tambah beliau, bagi penyediaan kemudahan teknologi 5G, lebih banyak menara telekomunikasi bersaiz kecil akan didirikan dengan jarak lebih dekat bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada talian tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat harus difahamkan bahawa pembinaan menara itu tidak memberikan kesan radiasi yang sangat besar terhadap orang awam.

“Kalau teknologi 4G sebelum ini, jarak menara telekomunikasi itu antara satu ke dua kilometer tetapi bagi teknologi 5G, ia antara 300 ke 500 meter.

“Oleh itu, kalau banyak sangat bantahan, ia akan menyukarkan kerajaan negeri untuk lebih maju ke hadapan dalam penyediaan talian 5G,” kata beliau.

Kerajaan Negeri Berhasrat Lancar Kemudahan Teknologi 5G Di Meru Raya

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim ketika berucap pada sesi sidang media bersama pemberita.
Kerajaan Negeri Berhasrat Lancar Kemudahan Teknologi 5G Di Meru Raya YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Portal Digital Perak.
Kerajaan Negeri Berhasrat Lancar Kemudahan Teknologi 5G Di Meru Raya YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim ketika menjawab soalan yang diajukan pemberita.

Sumber : Korporat, SUK Perak.