Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi : 13 April 2019

Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi

Antara tetamu VIP yang hadir di majlis tersebut.

GERIK, 13 APRIL 2019 - Program Pegawai Daerah bersama Komuniti Hulu Perak dianjurkan bertujuan memberi peluang kepada masyarakat sekitar untuk mendapat perkhidmatan secara terus daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan syarikat persendirian.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, dengan penyertaan 46 agensi berkenaan ia dilihat sedikit sebanyak mampu membantu masyarakat mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Saya percaya penyertaan 46 agensi ini akan dapat membantu kumpulan sasar yang berbeza terdiri daripada pelajar, graduan yang mencari pekerjaan, usahawan selain para kakitangan awam yang ingin mencari peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Jadi saya berharap bahawa program ini walaupun singkat, ia akan dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapat manfaat dan faedah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Program Pegawai Daerah bersama Komuniti Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Hulu Perak, YDH Toh Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Ar. LA Meor Roslan Bin Dato’ Seri Haji Meor Ahmad Rashidi; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tuan Tan Kar Hing, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Puan Nor Sham Binti Rahman dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Zulhisham Bin Ahmad Shukori.

Selain itu, beliau berkata, program yang berlangsung itu juga merupakan antara platform yang digunapakai oleh kerajaan negeri untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat di seluruh negeri Perak.

“Secara tidak langsung, ia turut memberi peluang kepada masyarakat untuk bertemu dan mengenali dengan lebih dekat para pegawai tertinggi pimpinan pentadbiran kerajaan negeri,” kata beliau.

Mengulas lanjut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, Hulu Perak merupakan daerah yang unik selain berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu produk pelancongan terpenting di negeri ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pihak Tourism Perak untuk memastikan hasrat berkenaan berjaya untuk direalisasikan.

“Sepanjang dua hari program yang berlangsung di sini, saya telah pun dapat melawat tapak-tapak warisan yang kita ada di Kota Tampan dan beberapa tempat lain.

“Saya percaya beberapa daya tarikan boleh kita buat bersama Tourism Perak untuk meningkatkan lagi aktiviti pelancongan dimana ia secara tidak langsung memberi faedah kepada penduduk tempatan,” ujar beliau.

Program Pegawai Daerah bersama Komuniti ini juga akan diteruskan ke daerah lain selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memberikan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat.

Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi

Antara penerima Kad Prihatin di majlis tersebut.
Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi Orang ramai membanjiri kaunter I-Suri semasa Program Pegawai Daerah bersama Komuniti.
Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi Sambutan hangat oleh orang ramai semasa Program Pegawai Daerah bersama Komuniti Hulu Perak.
Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi YB Setiausaha Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan kewangan kepada PIBG SK RPS Banun Gerik.
Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti Hulu Perak Bantu Rakyat Dapatkan Perkhidmatan Secara Terus Daripada Pelbagai Agensi YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bergambar bersama ketua jabatan dan pegawai kerajaan yang hadir di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.