Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri : 8 Mei 2019

Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan dan Perlindungan Diri Kanak-kanak dan Remaja di Dewan Bankuet SUK Perak.

IPOH, 8 MEI 2019 - Kerajaan negeri Perak mengedarkan 540 ribu buku panduan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak kepada semua sekolah, pejabat dan agensi kerajaan serta badan badan bukan kerajaan (NGO).

Difahamkan negeri Perak adalah negeri pertama di Malaysia menyediakan buku panduan berkenaan yang menumpukan pelajar sekolah untuk memahami dengan jelas bagaimana penderaan boleh berlaku terhadap mereka.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, buku itu diterbitkan bagi membuka mata kanak-kanak terhadap kepentingan menjaga keselamatan diri supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ketika ini kerap kita dengar berlaku insiden menyayat hati dan penderaan yang tidak sepatutnya berlaku membabitkan kanak-kanak.

“Jadi buku panduan itu diedarkan ke semua sekolah seluruh negeri dan memberikan pendedahan apa tindakan yang boleh mereka lakukan jika dibuli dan didera,” ujar beliau selepas melancarkan buku panduan berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Puan Wong May Ing.

Daripada keseluruhan 540,000 buku panduan membabitkan bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil yang dicetak, sebanyak 363,000 naskhah diedarkan kepada pelajar sekolah di seluruh negeri, manakala selebihnya di pejabat kerajaan, agensi, serta NGO.

YAB Menteri Besar Perak dalam ucapannya, berkata penerbitan buku itu amat dialu-alukan dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran di kalangan anak-anak bukan sahaja mengenai risiko yang dihadapi, malah yang perlu diambil ketika berdepan dengan perbuatan penderaan baik daripada segi emosi, fizikal dan seksual.

“Dengan olahan yang menarik, ditambah pula lukisan berwarna-warni bagaikan komik serta aktiviti bertulis, insya-Allah buku ini akan membawa manfaat besar kepada anak-anak.

“Begitu pun, pada masa sama, kerajaan negeri merayu kepada masyarakat untuk sama berganding bahu bagi memastikan keselamatan anak-anak dalam kejiranan kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai cadangan kerajaan Persekutuan untuk menaikkan tahap umur berkahwin kepada 18 tahun dan ke atas, beliau berkata, Perak pada dasarnya setuju dengan apa dicadangkan itu, tetapi masih belum membawa perkara itu ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dijadikan undang-undang.

Tambah beliau, perkara itu akan dibincangkan pada Sidang DUN yang dijangka berlangsung Julai depan untuk dibentang dan diluluskan.

Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri YAB Menteri Besar Perak berucap ketika Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan dan Perlindungan Diri Kanak-kanak dan Remaja.
Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri YB Menteri Besar Perak bergambar bersama para pelajar semasa majlis perlancaran buku tersebut.
Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan buku panduan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak kepada sekolah yang terlibat dalam program berkenaan.
Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad faizal Bin Dato' Azumu menyampaikan buku panduan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak kepada salah sebuah sekolah yang terlibat dalam program tersebut.
Perak Edar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Ke Seluruh Negeri YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu bersama para pelajar yang terlibat dalam program berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.