Rabu, 26 Jun 2019
 
  • Kemaskini Terakhir: 26 Jun 2019
 
lain
  
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman
 

nuzul2

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah.

BATU GAJAH, 21 MEI 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Kampung Serani.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM1.9 juta kepada penghulu dari lapan mukim untuk diserahkan kepada 7,610 penerima yang layak.

Lapan mukim berkenaan adalah Hulu Kinta Ipoh yang menerima sebanyak RM634,750; Ulu Kinta Chemor (RM268,000), Ulu Kinta Tanjung Rambutan (RM262,750), Lahat (RM327,000), Sungai Raia (RM160,250), Sungai Terap (RM156,000), Tanjung Tualang (RM48,500) dan Belanja Tronoh (RM45,250).

Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Terdahulu, keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada jam 7 petang disambut YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.

Yang turut hadir mengiringi, barisan YB Exco Kerajaan Negeri; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman; YBhg Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Mohd Yusop Bin Husin serta ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh Imam Utama Masjid Panglima Kinta, Tuan Qamaruzman Daud, disusuli bacaan Yassin, tahlil serta doa.

Baginda pada majlis berkenaan turut berkenan melancarkan Program Tadabbur al-Quran.

Program yang dijalankan dalam bentuk kelas pengajian berjadual itu bertujuan membolehkan masyarakat mempelajari ilmu al-Quran dan pemahaman tafsirnya secara meluas dengan pelaksanaan program di semua jabatan, organisasi dan institusi di seluruh negeri.

Selesai majlis, baginda turut berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Dato' Raja Abd Jalil Bin Zaid, turut menyampaikan RM50,000 sebagai zakat fisabilillah kepada pihak pengurusan masjid.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berangkat Ke Majlis Nuzul Quran DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan replika cek bantuan Aidilfitri kepada Penghulu Mukim Hulu Kinta bagi diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan.
nuzul3 DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.
nuzul6 Pengurus Besar TNB Perak, Dato' Raja Abdul Jalil Bin Zaid menyampaikan zakat fisabillah sebanyak RM50,000 kepada Masjid Toh Puan Besar Hatijah.
nuzul5 DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Muizzuddin Shah bersama lapan penghulu mukim yang menerima bantuan Aidilfitri bagi diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan.
nuzul4 DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.