Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

GBS@IPOH Tawar Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Perak : 31 Mei 2019

GBS@IPOH Tawar Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Perak

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama wakil lima syarikat pelancongan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU.

IPOH, 31 MEI 2019 - Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) memilih untuk melebarkan operasi di Ipoh sekali gus menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan di negeri ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, inisiatif GBS@Ipoh dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

Menurut beliau, Bandaraya Ipoh sememangnya diiktiraf sebagai destinasi GBS dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Lima syarikat ini akan memulakan operasi di Bandaraya Ipoh pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

"GBS@Ipoh ini dijangka akan menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan paling penting akan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi," kata beliau kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara NCIA, Kerajaan Perak dan Syarikat-syarikat GBS, di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama pada majlis itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman; YBhg Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Dato’ Seri Jebasingam Issace John serta wakil-wakil syarikat terlibat.

Menurut beliau, kehadiran lima syarikat yang akan berpusat di Falim itu sekali gus bakal menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di Ipoh.

Ujar beliau, paling penting GBS@Ipoh akan mengurangkan aliran keluar modal insan dan menarik minat rakyat Perak kembali berkhidmat di negeri sendiri.

"Usaha sama ini juga dijangka akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan dan Perak amnya.

"Ia sekali gus membantu menyelesaikan isu pengangguran di Perak yang mana statistik menunjukkan 22.7 peratus daripada sejumlah 20,341 graduan di Perak masih menganggur," kata beliau.

Sementara itu, Dato’ Seri Jebasingam Issace John berkata, GBS memilih Perak sebagai lokasi mengembangkan perniagaan kerana potensi yang ada di negeri ini khususnya di Bandaraya Ipoh.

Katanya, sebelum ini GBS sudah pun bertapak di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, namun Perak berada dalam landasan terbaik untuk berkembang dengan kemudahan serta kos operasi yang masih rendah.

GBS@IPOH Tawar Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Perak YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap dalam sidang media pada majlis MoU berkenaan.
GBS@IPOH Tawar Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Perak YBhg Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Dato’ Seri Jebasingam Issace John ketika sesi pertukaran dokumen MoU dengan salah seorang wakil syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
GBS@IPOH Tawar Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Perak Wakil daripada syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) bertukar-tukar dokumen MoU pada majlis yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.